SHAH ALAM- Majlis Profesor Negara (MPN) masih wujud dan bergerak sebagai sebuah badan bebas yang tidak lagi bernaung di bawah Jabatan Perdana Menteri.

Presiden MPN, Prof Datuk Dr Raduan Che Rose berkata, maksud pembubaran selepas pengumuman pembubaran majlis kuasa negara bukanlah memansuhkan MPN tetapi berstatus sebagai sebuah Syarikat Berhad Menurut Jaminan ( CLBG) yang mengumpulkan kepakaran akademik secara bersendirian.

Menurutnya, MPN mempunyai objektif sendiri termasuk menggembleng tenaga kepakaran yang bertaraf profesor untuk membincangkan isu strategik negara sebagai panduan kepada dasar negara.

"MPN sentiasa terpanggil untuk memberi semula kepada masyarakat kerana apabila hendak meningkatkan kepakaran akademik sehingga tahap profesor ini mengambil masa,

"Bukan semua orang sampai ke tahap itu, dan hanya  lima peratus daripada 65,000 jumlah keseluruhan mendapat tahap profesor di negara," katanya kepada Sinar Harian ketika mengadakan Kunjungan Hormat ke Kumpulan Media Karangkraf, hari ini.

Raduan berkata, sebagai agensi yang menghimpunkan pakar akademik negara yang mempunyai lebih 2,900 ahli yang didaftarkkan terpanggil untuk mencari ruang bagaimana boleh menggembleng tenaga pakar akademik untuk membincangkan isu negara secara strategik.

Jelasnya, isu itu nanti bakal dikongsi kepada masyarakat umum untuk dipertimbangkan oleh pihak kerajaan.

"Kita melihat Kumpulan Media Karangkraf menyediakan platform yang sangat baik dengan jumlah pengikut yang besar di mana kita boleh mengumpulkan tajuk-tajuk tertentu mengikut kepakaran akademik dan membincangkan sebelum membuat penulisan atau perbincangan melalui platform yang sedia ada di sini.

"Saya rasa  dengan kerjasama  ini nanti akan memberi faedah kepada  masyarakat dan negara," katanya.

Hadir sama, Pengarah Urusan Kumpulan Media Karangkraf, Datuk Dr Hussamuddin Yaacub.