PUTRAJAYA - Majlis Profesor Negara (MPN) mengemukakan 20 isu berkaitan sosio ekonomi semasa negara yang wajar diberi perhatian kerajaan dalam menyediakan Bajet 2018.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Profesor Datuk Dr Raduan Che Ros berkata, kesemua 20 cadangan dikemukakan Kluster Ekonomi dan Pengurusan MPN itu adalah fokus bagi menyerap kos sara hidup yang semakin meningkat.

“20 perkara ini sangat komprehensif meliputi segala aspek. Pada masa sama  membantu mengurangkan kos sara hidup rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media isu sosio ekonomi utama untuk dipertimbangkan kerajaan dalam Bajet 2018, semalam.

Raduan berkata, MPN berharap peruntukkan sektor pendidikan tidak dikurangkan demi memastikan negara mempunyai keupayaan intelektual menjana ekonomi.

Katanya, kerajaan tidak boleh menggadaikan pendidikan. Pendidikan pelaburan strategik kepada mana-mana negara .

“Kerajaan perlu berikan peruntukkan mencukupi kepada semua institusi awam dan swasta terutama  pengurusan universiti yang dikurangkan setiap tahun.

“Tahun ini kalau tiada penambahan peruntukan kepada sektor pendidikan, MPN berharap tidak dikurangkan peruntukkan terhadap pengurusan universiti demi mengekalkan kelestariannya,” katanya.

Pada masa sama ketika negara menuju status negara maju katanya, kerajaan perlu mempertingkatkan keupayaan penyelidikan.

“Ini  sumber yang perlu diberi keutamaan walaupun tidak diberikan terus kepada Kementerian Pendidikan tetapi kepada agensi berkaitan seperti Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti).

“Perlu ada usaha yang serius memberikan dana pendidikan. Korea Selatan  contoh, memperuntukkan lima peratus hasil Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) kepada sektor pendidikan sementara Jepun dan Singapura memperuntukkan  3 hingga 3.5 peratus,” katanya.

Menurutnya, Malaysia harus memperuntukkan sekurangnya-kurangnya 1.5 peratus daripada KDNK kepada sektor pendidikan.

Katanya, kutipan hasil GST juga dijangka meningkat daripada RM35 bilion kepada RM42 bilion tahun ini sekali gus meningkatkan pendapatan negara kepada RM230 juta tahun ini.

“Dijangka RM270 juta  diperuntukkan pada Bajet 2018 yang  akan dibentangkan 27 Oktober ini,” katanya.