SHAH ALAM - Majlis Perundingan Melayu (MPM) mennzahirkan ucapan tahniah kepada Kementerian Hal Ehwal Ekonomi yang dapat meyakinkan kerajaan untuk beralih kepada acuan dan corak pembangunan yang baru.

Setiausahanya, Datuk Dr Hasan Mad berkata, membina dan berkongsi kemakmuran negara adalah tanggungjawab bersama dan kementerian mengambil langkah positif dengan memulakan langkah pertama ini.

Menurutnya, beliau berharap lain-lain kementerian, agensi kerajaan memahami corak dan acuan baru ini serta bergerak seiringan bersama kementerian dalam usaha membina kemakmuran.

“Lain negara lain cara mereka mencorakkan model pembangunannya. Jepun sebagai contoh, melakukan tiga kali proses mencorakkan pembangunan negaranya berlandaskan pelantar Reform Pendidikan.

“Begitu juga Norway yang keluar dari belenggu kemiskinan sebagai salah satu negara paling miskin di Eropah suatu ketika dahulu, kini menjadi negara paling makmur di dunia.

“Indonesia pula menyatukan rakyatnya dari ribuan pulau dalam ratusan etnik yang berlainan budaya, sebagai satu Bangsa Indonesia, di atas pelantar budaya nasional, pancasila,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengambil contoh negara berkenaan, Hasan berpendapat tindakan diambil kementerian baru-baru ini adalah tepat ditambah pula selepas ambil kira laporan Kajian Separuh Penggal RMK 11 di Parlimen pada 18 Oktober 2018.

“Perdana Menteri melepaskan ikatan corak dan acuan pembangunan dari yang berpaksikan dan berpelantarkan pertumbuhan, kemajuan dan pembangunan semata-mata.

“Ia dinamakan Agenda Kemakmuran dan dengan masyarakat yang begitu majmuk, disulami pula oleh jurang ekonomi, pendidikan dan kekayaan yang lebar.

“Agenda Kemakmuran ini wajiblah agenda yang boleh dikongsi bersama,” ujarnya.

Tambah beliau lagi, pendekatan negara sejak Dasar Ekonomi Baru (DEB) 1970 jelas memaparkan beberapa masalah yang kini dihadapi dalam pembangunan negara dan insan.

“Mesej yang hendak saya kongsi di sini ialah bagaimana Jepun menggunakan agenda pendidikan bagi mencorakkan pembangunan insan dan negaranya.

“Berbeza dengan kita yang cuba mencorakkan agenda pembangunan di atas pelantar pertumbuhan dan pembangunan dan pada masa sama menggunakan lain-lain pelantar, terutama pendidikan,” ujarnya.