KUALA LUMPUR - Isu kehadiran Ahli Parlimen (MP) ke mesyuarat Dewan Rakyat sekali lagi dibangkitkan malam ini apabila seorang ahli Parlimen mengadu ramai MP dari kedua-dua belah gagal hadir ke sesi perbahasan meskipun isu yang dibincangkan berkepentingan nasional.

Awang Hashim (Pas-Pendang) menarik perhatian bahawa kehadiran pada sesi petang persidangan hari ini amat rendah, iaitu tidak lebih 20 peratus.

“Saya mengira dari pukul 4 petang hingga sekarang (7.30 malam) paling ramai hanya 38 orang sahaja (berada di dalam dewan) daripada 222 ahli Parlimen,” katanya semasa memulakan perbahasan usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-11 di Dewan Rakyat, malam ini.

“Perkara itu perlu dititikberatkan jika semua pihak serius untuk membuat perubahan terhadap institusi Parlimen,” katanya.

Beliau turut menggesa Yang Dipertua Dewan Rakyat supaya mengambil serius keadaan itu dan mencari kaedah untuk mencegahnya.

“Kita cari satu kaedah supaya mereka (MP) merasa bertanggungjawab. Yang tak mai, dapat elaun serupa, yang mai sat, balik, elaun serupa, yang macam kita duduk dari pagi sampai malam, pun elaun serupa. Kita lanjutkan (waktu persidangan) supaya beri tumpuan kepada kerajaan. Parlimen (patut) cari kaedah yang sesuai supaya kita disiplinkan anggota Parlimen termasuk menteri,” katanya.

Sementara itu terdahulu, Ahli Parlimen Batu Kawan Kasthuriraani Patto meminta Kementerian Komunikasi dan Multimedia memantau penjualan ubat keguguran yang dijual secara atas talian.

“Mohon Kementerian Komunikasi dan Multimedia pantau jualan ubat-ubat seperti ini untuk membantu si ibu mengugurkan kandungannya.

“Menurut laporan media semalam, seorang gadis 22 tahun di Terengganu menggugurkan kandungannya selepas membeli 10  pil keguguran bernilai RM600 dari internent,” katanya dalam perbahasan.

Dilapor semalam, gadis itu nekad menggugurkan kandungnya yang berusia 20 minggu selepas kecewa bekas tunang tidak mahu bertanggungjawab ke atas diri dan bayi yang dikandungnya.

Selain itu Kasthuriraani juga meminta kementerian memantau penjualan secara berleluasa di internet produk krim kecantikan dan makanan sampingan yang diragui.

Beliau juga turut mengesa Kementerian Wanita dan Pembangunan Keluarga bersama Kementerian Pendidikan mempertimbangkan untuk memasukkan pendidikan seksual dan kesihatan reproduksi dalam sukatan pelajaran.

Menurutnya hal ini kerana pengetahuan aspek seksual dan kesihatan reproduksi masih rendah di kalangan remaja.

“Berdasarkan kajian National Health and Morbidity Survey 2017 oleh Kementerian Kesihatan Malaysia, dalam kalangan remaja yang pernah mengadakan hubungan seks hanya 10 peratus guna kaedah kontraseptif mencegah kehamilan,” katanya. - Bernama

[ ARTIKEL BERKAITAN: 'Sila duduk dan jangan lari' ]