KUALA LUMPUR - Kemunculan Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar di mesyuarat pertama Persidangan Penggal Pertama Parlimen ke-14 hari ini antara yang mencuri perhatian.

Naib Presiden PKR itu 'lari' daripada gaya tudung bawal yang sinonim dengan beliau sebelum ini.

Sebaliknya beliau kelihatan manis dengan mengenakan selendang panjang.

Sementara itu, mungkin kerana teruja atau gementar, dua ahli Parlimen paling muda hampir-hampir tersilap laluan dan pintu masuk ketika tiba di lobi Parlimen.

Mereka ialah Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, 25, dan Ahli Parlimen Batu, P Prabakaran, 22, yang mewakili kerajaan Pakatan Harapan.

Bagaimanapun, 'kesilapan' mereka berdua dibetulkan oleh media dan pegawai Parlimen yang menunjukkan laluan dan pintu masuk sebenar ke dalam Dewan Rakyat.

Ahli-ahli Parlimen Umno pula menunjukkan keseragaman mereka apabila hampir semua memakai baju Melayu berwarna hitam untuk lelaki dan baju kurung untuk wanita.

Namun, mungkin tidak mendapat arahan atau pun terlupa, Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah dan Ahli Parlimen Padang Besar, Datuk Zahidi Zainal Abidin dilihat mengenakan sut.

Sidang Dewan Rakyat kali ini juga menyaksikan Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim tetap semangat hadir walaupun berkerusi roda.

Difahamkan, Shahidan masih dalam proses rawatan selepas dipercayai mengalami sindrom Guillain-Barré iaitu gangguan dalam sistem imun yang menyerang sel saraf sihat dalam sistem saraf periferal badan.

Seramai 222 ahli Parlimen mengangkat sumpah bagi mengesahkan kedudukan mereka sebagai anggota Dewan Rakyat bagi penggal ke-14, pagi ini.

Daripada jumlah keseluruhan 222 ahli Parlimen, 98 daripadanya ialah muka baharu.