KUALA LUMPUR - Menteri di Jabatan Perdana yang juga pengerusi Hindraf P. Waytha Moorthy berkata beliau sedang bekerjasama dengan lain-lain menteri kabinet bagi memastikan layanan saksama diberikan kepada komuniti India dan semua kaum minoriti.

"Kerajaan semasa amat komited untuk menyemai prinsip-prinsip demokrasi bagi memastikan semua rakyat menerima layanan yang adil dan saksama,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kenyataan itu dikeluarkan susulan penularan klip video yang berkaitan dengan apa yang menurutnya adalah ketika beliau ditemu ramah oleh stesen televisyen Belanda 10 tahun yang lampau, susulan kepada satu perhimpunan Hindraf pada bulan November 2007. Kandungan video itu mengundang kritikan dari pelbagai pihak.

Beliau berkata dasar-dasar yang diketengahkan kepimpinan kerajaan sebelum ini, Barisan Nasional (BN), menghalang majoriti komuniti India daripada diterima dalam pembangunan arus perdana negara.

Menurutnya Hindraf meneruskan perjuangannya bersama dengan Pakatan Harapan yang diterajui oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad. 

"Saya sendiri menjelaskan kepada Tun mengenai aktiviti saya sebelum ini dan masalah utama yang dialami komuniti India. Hindraf menyokong kepimpinan Tun sebelum pilihanraya umum ke-14 lagi, dan menggerakkan sokongannya kepada kerajaan semasa bagi memastikan rejim Umno boleh ditumpaskan,” tambahnya. - Bernama