KUALA LUMPUR - Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof mempertahankan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng yang menyatakan tiada jaminan harga barang akan turun selepas cukai jualan dan perkhidmatan (SST) berkuatkuasa.

Beliau berkata, pembangkang sepatutnya menunjukkan bukti mengenai sektor yang menyaksikan kenaikan harga drastik selepas cukai barang dan perkhidmatan (GST) dihapuskan.

"Di Parlimen sekarang, pembangkang mengatakan bahawa SST adalah beban kepada rakyat, tetapi saya ingin ulangi sekali lagi, pembangkang tidak berjaya menunjukkan sektor mana yang melihat harga yang tidak terkawal.

"Mereka gagal memberikan jawapan kepada kami. Guan Eng juga meminta contoh, tetapi mereka tidak jawab," katanya pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Pusat Sehenti Keusahawanan dan MyPerintis-BizRev, di sini, hari ini.

[ ARTIKEL BERKAITAN: Tunjuk bukti saya cakap SST akan turunkan harga barang ]

Guan Eng dalam sesi soal jawab lisan Dewan Rakyat hari ini mempertahankan kenyataannya sebelum ini bahawa tiada jaminan harga barang akan turun selepas pelaksanaan cukai jualan dan perkhidmatan (SST).

Selain itu, Mohd Redzuan berkata, beliau secara peribadi akan memfailkan aduan mengenai kenaikan harga barang jika ada bukti dikemukakan.

Dalam pada itu, Mohd Redzuan memberi jaminan bahawa Bajet 2019 yang akan dibentangkan di Dewan Rakyat bulan depan, akan memberi manfaat dan peluang kepada pembangunan usahawan.

"Harapan saya tinggi. Kami mempunyai tanggungjawab yang sangat mencabar dan berat dalam mengawal selia dan memudahcara usahawan melalui agensi.

"Bagaimanapun, terserah kepada Kabinet untuk memastikan kementerian ini dapat membantu pertumbuhan ekonomi," katanya.