JOHOR BAHRU - Bakal Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin akan mengangkat sumpah minggu depan bersama anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) setelah mendapat perkenan Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar hari ini.
    
Anggota Dewan Undangan Negeri Permas itu dititah menghadap di Istana Pasir Pelangi dan antara perkara yang dibincangkan dengan Sultan Ibrahim ialah penentuan tarikh angkat sumpah menteri besar dan senarai barisan Exco.
    
Bercakap kepada pemberita kira-kira sejam kemudian, Mohamed Khaled berkata beliau dititahkan Sultan Ibrahim supaya meneliti senarai barisan exco kerajaan negeri sebelum sekali lagi menghadap baginda bagi mempersembahkan calon-calon yang bakal dilantik.
    
"Di Johor, majlis angkat sumpah menteri besar dilakukan bersama-sama barisan exco. Jadi, ia akan mengambil masa sedikit," katanya yang akan menyelesaikan senarai barisan itu dalam minggu ini.
    
Turut hadir, Setiausaha Majlis Jumaah Diraja Johor Datuk Abdul Rahim Ramli dan Setiausaha Kerajaan Negeri Johor Datuk Obet Tawil.
 
Mohamed Khaled berkata exco kerajaan Johor akan dibarisi 10 orang anggota yang melibatkan tujuh wakil Umno, dua daripada MCA dan satu MIC.
    
Bagaimanapun beliau akan mendapatkan kepastian terlebih dahulu daripada pihak MCA sama ada mahu meletakkan wakilnya kerana komponen itu sudah memutuskan untuk tidak menerima sebarang jawatan di peringkat persekutuan atau negeri selepas kalah teruk dalam pilihan raya ini.
     
Menurut Mohamed Khaled, Sultan Ibrahim banyak memberikan nasihat dan pandangan kepada beliau semasa majlis menghadap itu terutama berhubung senarai exco yang bakal dilantik.
    
"Tuanku mahu orang yang boleh bekerja dan memikirkan hal kepentingan rakyat Johor, supaya rakyat menerima perkhidmatannya sebaik mungkin," katanya.
    
Ditanya mengenai Dun Johor yang agak mencabar selepas ini dengan adanya 18 kerusi pembangkang, beliau berkata tiada apa yang perlu dikhuatirkan sekiranya wakil Barisan Nasional menjalankan tanggungjawab dengan baik.
 
Mohamed Khaled pada pilihan raya itu memenangi kerusi Dun Permas selepas menewaskan calon Pas Syed Othman Syed Abdullah dengan majoriti 5,752 undi.
    
Barisan Nasional kekal memerintah Johor apabila mendapat majoriti dua pertiga dengan memenangi 38 daripada 56 kerusi DuN.
    
Daripada 18 DuN yang dimenangi pembangkang, 14 daripadanya DAP, tiga (Pas) manakala satu daripada PKR. - Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KUALA LUMPUR - Naib Presiden MIC Datuk T. Mohan hari ini mengangkat sumpah sebagai senator buat kali pertama bagi tempoh tiga tahun di Dewan Negara, hari ini.
  • SHAH ALAM - Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan mempertimbangkan dengan serius kedudukan Presiden Pertubuhan Ahli Sunnah Wal Jamaah (Aswaja), Zamihan Mat Zin, yang didakwa mengeluarkan kenyataan menghina Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar.
  • SHAH ALAM - Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mohon perkenan untuk mengadap Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berhubung isu Pegawai Kader Jakim, Dr Zamihan Mat Zin.
  • JOHOR BAHRU - Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar mengarahkan supaya operasi dobi khas untuk pelanggan beragama Islam di Muar ditamatkan segera atau berdepan tindakan ditutup oleh baginda sendiri.
  • JOHOR BAHRU - Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan menandatangani enakmen untuk mencegah penggunaan tidak wajar bagi lambang, gelaran dan anugerah Negeri Johor.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.