KUALA LUMPUR - Menteri Pertahanan Mohamad Sabu kini berada di Amerika Syarikat untuk lawatan kerja dan mengiringi Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad ke Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNGA) pada 25 hingga 29 September ini.

Kementerian Pertahanan dalam kenyataan berkata, Mohamad dan isteri Normah Alwi, yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Washington Dulles pada Ahad, dijadual bertemu dengan rakan sejawatannya Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat, James Norman Mattis.

“Lawatan kerja Mohamad ke Washington DC adalah merupakan susulan kepada pertemuan beliau dengan Mattis di Singapura pada Jun lepas.

“Tujuan lawatan kerja ini ialah untuk menyambung perbincangan berkaitan dengan kerjasama pertahanan antara kedua-dua negara di samping mengekalkan hubungan dua hala Malaysia dan Amerika Syarikat,” menurut kenyataan itu.

Semasa di New York pula, Mohamad dijadual menghadiri mesyuarat peringkat tertinggi berhubung ‘Action For Peacekeeping’.   

Turut mengikuti lawatan kerja itu ialah Panglima Angkatan Tentera Jen Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin dan pegawai-pegawai kementerian berkenaan. - Bernama