myGAP dan myORGANIC penting bagi menjamin sumber makanan yang dihasilkan benar-benar berkualiti dan selamat dimakan. Apa itu myGAP dan myORGANIC?

myGAP iaitu Skim Amalan Pertanian Baik Malaysia dan myORGANIC singkatan kepada Skim Organik Malaysia, merupakan pengiktirafan dalam bentuk pensijilan komprehensif yang diberi kepada petani dan penternak yang mematuhi standard ladang terbaik bagi sektor tanaman, ternakan dan akuakultur. 

Kedua-dua sijil itu telah dirangka dan dilaksanakan melalui penggabungan dan penjenamaan semula skim amalan pertanian baik yang telah sedia ada bagi ketiga-tiga sektor tersebut.

Itu antara sebab mengapa Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA), menggalakkan pengusaha ladang dan akuakultur serta penternak mendapatkan pengiktirafan myGAP dan myORGANIC.

Mohd Sallehhuddin (depan, kiri) ketika melawat tapak hasil tani myGAP.

Walaupun sijil itu tidak diwajibkan ke atas peladang mahupun penternak, tetapi kementerian cuba menjadikan myGAP sebagai salah satu perkara penting yang perlu dititik beratkan pengusaha, mahupun pengguna.  

Melalui pengiktirafan itu, pengusaha mempunyai banyak kelebihan antaranya memudahkan mereka menembusi pasaran luar negara, selain meningkatkan produktiviti melalui pengurusan ladang lebih sistematik dan memperbaiki kualiti produk.

myGAP telah diiktiraf di negara-negara berdekatan seperti negara-negara Asean contohnya China. Malah semua negara yang import produk-produk Malaysia akan menerima produk berasaskan myGAP

Mohd Sallehhuddin (depan, kanan) menyerahkan sijil penghargaan kepada usahawan myGAP dan myOrganic.

Melalui skim berkenaan, ladang-ladang pengusaha pertanian akan dinilai untuk disijilkan berdasarkan kriteria antaranya pengurusan ladang yang sistematik, pengurusan sisa yang mesra alam, penggunaan baja dan racun yang minimum, keselamatan pekerja dan pengendalian hasil lepas tuai.

Malaysia mengguna pakai pensijilan Malaysia GAP selaras dengan AseanGAP seperti Thailand (ThaiGAP), Indonesia (IndoGAP), Filipina (PhilGAP) dan Brunei (BruneiGAP).

Kementerian juga berbincang dengan Global GAP di Eropah untuk melihat ketetapan syarat myGAP untuk digunapakai bagi Global GAP supaya memudahkan pelan untuk menembusi pasaran ke Eropah.

Sejak diperkenalkan pada 2002, sebanyak 3,244 ladang tanaman padi, sayur dan buah-buahan mempunyai persijilan myGAP, 119 memperoleh sijil myOrganic.

Mohd Sallehhuddin (empat, kanan) ketika penyerahan ‘mock key’ kenderaan ditaja Mitsubishi Motor Malaysia, yang akan digunakan secara rasmi dalam MAHA 2018.

Untuk kolam akuakultur sebanyak 372 ladang telah dipersijilkan, manakala bagi ladang ternakan sebanyak 1,029 premis walit dan 126 ladang ternakan telah dipersijilkan.

Bagi meningkatkan kesedaran kepada orang ramai tentang produk pertanian yang datang dari skim myGAP dan myORGANIC, MOA mengadakan promosi dan jualan hasil tani di Pusat Beli-Belah Aeon Shah Alam, bermula 6 November hingga 11 November ini.

Pengguna boleh mendapatkan hasil pertanian seperti sayur-sayuran, buah-buahan, ikan dan ternakan seperti ayam, daging dan telur dijamin segar, berkualiti dan selamat dimakan.

Mohd Sallehhuddin (tengah) turut mempromosikan MAHA 2018 bersama usahawan myGAP dan myOrganic.

Sebanyak 15 ruai jualan dan pameran dibuka yang menjual pelbagai produk pertanian. Selain itu, hasil akuakultur seperti tilapia merah dan udang turut dijual di sini.

Pengunjung juga boleh mendapatkan jualan masakan seperti kambing bakar dan itik panggang serta masakan popular seperti patin masak tempoyak.

Ketua Setiausaha, Datuk Mohd Sallehhuddin Hassan hadir Majlis Perasmian Program Promosi dan Jualan Hasil Tani myGAP Siri 2 di Pusat Beli-Belah Aeon, semalam.

JOM KE MAHA 2018

22 November - 2 Disember 2018

MAEPS Serdang

10 pagi - 7 malam