KUALA LUMPUR - Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) hari ini menegaskan, pelaburan luar yang dibawa masuk ke negara ini akan dibahagikan sama rata antara tiga wilayah iaitu Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.

Menterinya, Datuk Darrell Leiking, berkata Miti menyelaraskan potensi pelaburan yang dibawa oleh kerajaan dengan seimbang ke tiga wilayah terbabit.

"Ada sebuah syarikat yang mempunyai potensi besar untuk melabur di Sabah dan kita berunding dengan Sabah Electricity Sdn Bhd bagi mendapatkan kadar tarif terbaik untuk mereka melabur di sana," katanya di Dewan Rakyat.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan daripada Chan Foong Hin (DAP-Kota Kinabalu) mengenai usaha Miti dalam menyeimbangkan pelaburan antara wilayah supaya Sabah dan Sarawak tidak dipinggirkan.

Darrell menambah, banyak potensi pelaburan sudah membuat komitmen pelaburan di Semenanjung Malaysia.

"Dalam misi baru-baru ini, terdapat beberapa syarikat yang akan melabur di Semenanjung Malaysia dalam sektor petrokimia, elektrik dan eletronik serta perubatan.

"Ini amat menarik, kerana kebanyakan pelaburan kali ini adalah dari syarikat yang besar di dunia termasuk syarikat yang menghasilkan mekanisme untuk jantung (stand mechanism for the heart)," tambahnya.

Miti mengadakan Misi Galakan Perdagangan dan Pelaburan ke Jepun dan Korea Selatan dari 14 hingga 21 Oktober lalu.

Darell berkata, misi perdagangan dan pelaburan akan diteruskan pada tahun 2019 yang memfokus kepada rakan dagangan utama dan rakan strategik Malaysia berdasarkan negara fokus seperti Asean, Amerika Syarikat dan China.

Untuk Misi Galakan ke Korea Selatan, pelaburan berpotensi yang dijana adalah sebanyak RM711.4 juta yang bertumpu kepada sektor bahan kimia, elektrik dan elektronik serta perkakas rumah manakala jualan berpotensi dianggarkan RM1 billion melalui hasil pertemuan sewaktu sesi mesyuarat perniagaan.

Misi Galakan dan Perdagangan ke Jepun pula berjaya menarik potensi pelaburan berjumlah RM2.13 bilion terutama dalam industri petrokimia, logistik, peralatan perubatan, elektrik dan elektronik, perkakas rumah serta perabot. - Bernama