SHAH ALAM - Aspek kebersihan dan keselamatan makanan adalah elemen penting dalam menjamin kualiti sesuatu produk.

Pensijilan Makanan Selamat Tanggungjawab Industri (MeSTI) adalah salah satu Program Jaminan Keselamatan Makanan (PJKM) yang disediakan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melalui Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan untuk membantu pengusaha produk makanan khususnya Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), menghasilkan produk bersih dan selamat untuk pengguna.  Ini dapat meyakinkan pengguna semasa membuat pilihan.

Menurut Pengarah Kanan Keselamatan dan Kualiti Makanan, KKM Noraini Dato’ Mohd Othman, dengan adanya Pensijilan MeSTI sebagai PJKM ia boleh dijadikan sebagai asas atau batu loncatan untuk PKS meningkatkan sistem jaminan keselamatan makanan mereka kepada tahap yang dapat memenuhi piawaian antarabangsa seperti Good Manufacturing Practices (GMP) atau Hazard Analysis and Critical Control Points (HACCP) dan seterusnya membantu PKS lebih berdaya saing dan berpotensi untuk menembusi pasaran antarabangsa.

Mengulas lanjut berkaitan MeSTI, Noraini berkata, bimbingan dan pensijilan yang diberikan oleh KKM adalah percuma. Faedah lain diberikan kepada pengusaha yang mempunyai pensijilan ini, antaranya ia memudahkan proses permohonan pensijilan halal oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

“Produk yang mempunyai Persijilan MeSTI mudah di pasarkan ke pasaraya besar seperti Tesco, Giant, Aeon, Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M), Kedai Koop 1Malaysia (COOP1M).

“Ia juga akan mempercepatkan pengeluaran sijil pengeksportan seperti Sijil Penjualan Bebas (Free Sale Certificate) dalam tempoh satu hari,” katanya.

PKS yang telah mendapat pensijilan MeSTI telah mematuhi keperluan melaksanakan PJKM sebagaimana yang telah ditetapkan di bawah Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009.

Cara memohon juga mudah kerana perkhidmatan ini disediakan melalui atas talian (online), di fosimdomestic.moh.gov.my. atau datang ke Jabatan Kesihatan Negeri atau Pejabat Kesihatan Daerah yang berhampiran dengan premis masing-masing.

INFO

Faedah MeSTI

• Logo MeSTI pada label makanan dapat meyakinkan pengguna terhadap keselamatan makanan tersebut

• Memenuhi keperluan perundangan di bawah Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009.

• Mempercepatkan pengeluaran sijil pengeksportan dalam tempoh satu hari tanpa dokumen tambahan

• Pensijilan dan bimbingan adalah percuma

• Tempoh sah sijil selama tiga tahun

MeSTI pacu pertumbuhan jualan

Pensijilan MeSTI diakui banyak memberi kelebihan kepada kadar pengeluaran dan potensi pemasaran.

Pengurus Serantau Desa Industries Sdn Bhd, Azlin Mohamed Idris berkata, kadar pengeluaran produk Serantau meningkat sehingga 40 hingga 50 peratus sejak jenama itu mendapat pensijilan MeSTI.

“Syarikat di Kuala Lumpur mendapat pensijilan masuk tahun kedua. MeSTI sangat penting dalam memastikan premis penyediaan mematuhi kehendak perundangan, dan dalam masa yang sama, memastikan penyediaan produk mengikut prosedur operasi standard (SOP),” katanya.

Azlin berkata, untuk pasaran eksport, kami memerlukan sijil kesihatan, syarat utama untuk kelulusan sijil itu pula perlu ada Program Jaminan Keselamatan Makanan (PJKM). PJKM yang paling mudah dan percuma adalah Persijilan MeSTI jadi tanpa MeSTI susah untuk KKM luluskan sijil kesihatan.

Tambah Azlin, proses permohonan MeSTI juga mudah, dan terbukti premisnya lulus dalam masa tiga bulan selepas permohonan dibuat.

Adanya MeSTI keyakinan pengguna sangat tinggi, di samping ia membuka peluang lebih besar kepada eksport.

Melalui pensijilan MeSTI kami senang untuk meneroka pelbagai pasaran luar negara.

Jenama Serantau ketika ini dieksport secara penjualan skala kecil ke China, Brunei Darussalam, Singapura dan Hong Kong.

Serantau adalah jenama produk sejuk beku yang memasarkan makanan yang terdiri daripada otak-otak, sata, otak-otak gulung, sata daun, dan pau pelbagai inti.

Azlin berkata, setiap bulan kapasiti pengeluaran otak-otak daun mencecah 30,000, dan ada kalanya meningkat sehingga 50,000 hingga 70,000 pada bulan Ramadan.

Manakala pengeluaran otak-otak gulung dan sata gulung pula sehingga 10,000 sebulan.

‘Bila ada MeSTI, pelanggan lebih yakin’

Pemilik Kuih Tradisional Perniagaan Kak Asiah Enterprise, Asiah Rembun, 66 berkata, pelbagai kesan positif diterima sejak syarikat yang diusahakan lebih 20 tahun itu diiktiraf pada 2015 dan mendapat sijil MeSTI pada tahun 2015.

Pengiktirafan ini banyak membantu perniagaan Kak Asiah terutamanya daripada segi sambutan penjualan produk utama bahulu dan rempeyek.

Asiah mula berjinak-jinak memulakan perniagaan produk makanan tradisional seperti rempeyek dan bahulu sejak 1993 secara kecil-kecilan namun selepas menerima bimbingan dan pengiktirafan daripada KKM, pasarannya kini semakin meluas.

Mengulas lebih lanjut, Asiah menyifatkan usaha memohon pengiktirafan ini adalah langkah yang tepat dalam menyediakan produk yang lebih berkualiti.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.