SEREMBAN - Menteri Pengangkutan, Anthony Loke kesal dengan tindakan pemandu teksi yang membuat kecoh dalam dialog bersama Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad di Langkawi, pagi tadi.

Menurut Loke, dalam isu berkaitan e-hailing (e-panggilan) yang mencetuskan rasa tidak puas pemandu teksi tersebut, kerajaan telah pun menetapkan dasar untuk membenarkan perkhidmatan itu.

Oleh itu, katanya, kerajaan tidak boleh melayan permintaan pemandu teksi untuk mengharamkan syarikat e-panggilan yang menggunakan kereta persendirian.

“Kita letakkan peraturan yang sama antara e-panggilan dan teksi. Itu telah digazetkan Julai lalu tetapi pelaksanaannya ambil masa setahun kerana kita nak daftarkan beratus ribu kereta e-panggilan.

“Mereka tertakluk pada peraturan sama dengan pemandu teksi biasa seperti perlu ada lesen, insurans dan sebagainya. Maka, apa yang diminta oleh pemandu teksi untuk haramkan syarikat e-panggilan seperti Grab yang guna kereta persendirian itu tak dapat dilayan oleh kerajaan,” katanya kepada media di Konvensyen Biasa DAP Negeri Sembilan Penggal ke-18, hari ini.

[ARTIKEL BERKAITAN: Majlis Tun M kecoh diganggu pemandu teksi biadab]

Loke juga menafikan kerajaan mengabaikan nasib pemandu teksi sebaliknya berusaha menggalakkan mereka menyertai e-panggilan.

“Macam-macam kita nak bantu mereka seperti berikan lesen permit secara persendirian. Kita juga nak galakkan mereka guna e-panggilan supaya mereka dapat bersaing lebih adil.

“Kita merasakan pemandu teksi perlu mengaplikasikan penggunaan teknologi baharu seperti e-panggilan. Malah, kita menyediakan pelbagai tawaran untuk mereka guna e-panggilan,” katanya.