PUTRAJAYA - Menteri Kabinet dijangka akan mengisytiharkan harta masing-masing dalam tempoh terdekat selepas kod etika berkaitan dimuktamadkan.

Memetik laporan Malaysiakini, Ketua Pusat Governans, Integriti dan Antirasuah Nasional (GIACC) Tan Sri Abu Kassim Mohamed berkata, kod etika berkenaan akan dibawa ke Kabinet untuk mendapatkan kelulusan.

Selepas itu katanya, barulah menteri-menteri boleh mengisytiharkan aset masing-masing.

“Borang (pengisytiharan) sudah tersedia untuk menteri, timbalan menteri dan ahli parlimen daripada kerajaan untuk diisi,” katanya hari ini.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad meminta anggota pentadbiran termasuk menteri, timbalan menteri dan setiausaha politik mengisytiharkan harta masing-masing.

Ia sebahagian daripada memenuhi janji Pakatan Harapan kepada rakyat semasa PRU14 lalu.

[ARTIKEL BERKAITAN: Lima teras utama dalam manifesto Pakatan Harapan]

[ARTIKEL BERKAITAN: Mat Sabu sedia jadi pemimpin pertama isytihar harta]

Selasa lalu, Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu menjelaskan beliau sedia menjadi pemimpin pertama dari Pakatan Harapan yang mengisytiharkan hartanya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Menurutnya, beliau tiada masalah untuk mengisytiharkan hartanya pada bila-bila masa jika diminta berbuat demikian.