[DIKEMASKINI] KUALA LUMPUR - Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mengakui cukai jualan dan perkhidmatan (SST) kurang telus dan efisien berbanding cukai barangan dan perkhidmatan (GST).

Bagaimanapun, katanya, kesan SST kepada rakyat adalah kurang berbanding GST.

Menurut beliau, ini kerana SST hanya dikenakan terhadap satu peringkat iaitu pengilang.

"Tentang ketelusan kita tak dapat nafikan, kalau sebut mana lebih telus tentu GST lebih telus. Tetapi bila sebut GST telus maka ia boleh kutip lebih banyak cukai dengan meluas dan mempunyai kesan ke atas rakyat.

"Sedangkan SST walaupun tak setelus dan seeifisen GST, tetapi kesan kepada rakyat khususnya pengguna akhir iaitu rakyat biasa kurang," katanya dalam sesi pertanyaan-pertanyaan menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Guan Eng menjawab soalan Datuk Ahmad Maslan (BN-Pontian) yang ingin tahu sama ada SST merupakan cukai yang telus.

"Menteri Kewangan ingin sesuatu yang telus. SST cukai yang tak telus.

"Rakyat kena bayar tetapi tak ada dalam resit. GST telus. Apa komen menteri?," soal Ahmad.

Sebelum itu, ketika menjawab soalan asal Datuk Seri Dr Wee Ka Siong (BN-Ayer Itam), Guan Eng berkata, jumlah kutipan SST ialah RM21 bilion setahun berbanding kutipan GST sebanyak RM44 bilion setahun.

"Kerajaan telah kurangkan kutipan RM23 bilion, ini hadiah kerajaan PH kepada rakyat,"katanya.