SHAH ALAM - Bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa adalah satu pembaziran sekiranya graduan terlatih terutama dalam bidang profesional terpaksa menjual nasi lemak sebagai pekerjaan.

Menurutnya, tindakan itu dibuat susulan peluang pekerjaan yang semakin merosot dalam kalangan graduan terlatih.

"Peluang pekerjaan makin merosot sehingga ada kalangan mereka yang terlatih dalam bidang jurutera tiada kerja dan terpaksa jual nasi lemak.

"Kalau kita belanjakan ratusan ribu ringgit untuk melatih seseorang yang akhirnya akan menjual nasi lemak, itu adalah membazir, kalau kita betul-betul berminat jual nasi lemak, tak payahlah kita jadikan dia seorang jurutera," katanya dalam siaran langsung “Policy Talk” di Facebook, hari ini.

Mahathir juga turut membidas beberapa kenyataan yang mengaitkan graduan menjual nasi lemak sebagai satu inisiatif baik kepada seorang jurutera yang kembali ke tanah air.

"Saya fikir pandangan yang sebegitu tidak menunjukkan kefahaman tentang masalah kehidupan sosial dalam negara.

"Pihak kerajaan perlu berusaha mewujudkan peluang pekerjaan, dan perniagaan supaya mereka yang terlatih dan berpengetahuan berpeluang memperbaiki taraf hidup mereka," katanya.

Terdahulu, kenyataan tun Mahathir berkaitan lepasan universiti yang terpaksa menjual nasi lemak, menjadi pemandu Uber dan seumpamanya adalah petanda kegagalan kerajaan di negara ini menerima kritikan ramai.

Dalam pada itu, Pengerusi Pakatan Harapan (Harapan) itu turut mengingatkan rakyat sekiranya ingin membetulkan kuasa Melayu, pilihan perlu diubah.

"Kalau kita nak betulkan kuasa Melayu dengan kekalkan Umno, saya fikir itu salah, Umno sekarang ini bukan lagi Melayu, tetapi Harapan lebih utamakan agihan kekayaan negara, kuasa secara saksama.

"Kita mempunyai parti-parti yang khusus mewakili orang Melayu dan kalau mereka diberi peluang, mereka juga orang lama, mereka akan bawa negara kita ke landasan betul seperti dahulu," katanya.