SHAH ALAM - Tidak dinafikan terdapat sebahagian pihak pengurusan hotel di negara ini melarang pekerja wanita Islam mengenakan tudung terutama yang bertugas di bahagian kaunter hadapan.

Pengurus Restoran Palma Signature, Raja Farah Amira Raja Abdul Rahman berkata, pengalamannya pernah menghadiri beberapa sesi temu duga, mengecewakan apabila pihak pengurusan tidak mahu menerima pekerja wanita Islam yang bertudung bekerja di kaunter hadapan.

“Polisi hotel itu sendiri tetapkan syarat. Kalau hendak kerja di kaunter hadapan, tidak boleh pakai tudung. Tujuannya untuk tarik lebih ramai pelanggan.

“Saya sendiri ditanya, adakah sanggup membuka tudung sekiranya mereka bersetuju menggaji saya? Kebanyakan hotel ini, bertaraf antarabangsa. Ada sesetengah hotel mempertikaikan isu bertudung, tetapi ada yang menghormatinya,” katanya.

Empat tahun dalam industri perhotelan, Raja Farah, 28, berkata, isu pekerja bertudung merupakan isu ‘panas’.

“Sebagai rakyat Malaysia dan berada dalam negara Islam, isu bertudung tidak wajar timbul.  Lagipun, pelanggan tidak pernah buat aduan, mengenai pekerja bertudung. Malah mereka lebih menghormati kita.

“Yang penting pakaian kemas dan bersih. Sebagai pemimpin, saya sentiasa pastikan staf seliaan saya sentiasa patuhi undang-undang syarikat," katanya.

Sementara itu, Nur Ain Najwa Abd Aziz, 25, berkata, sepanjang setahun bekerja di bahagian kaunter hadapan, beliau tidak pernah menerima aduan sama ada dari pelancong luar, mahu pun tempatan.

Malah setiap pelanggan menginap di Hotel De Palma, menghormati dan menerima etika berpakaian mereka.

“Pada saya, penampilan nombor dua. Paling utama kualiti perkhidmatan yang diberikan ketika kita melayani pelanggan.

“Sebagai wanita, saya rasa lebih selamat malah diterima. Persepsi orang ramai, bila kita bekerja di hotel, dikaitkan masalah sosial. Jadi dengan menutup aurat, mereka lebih hormati kami,” katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • SHAH ALAM - Pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh negara perlu menggunakan kuasa yang telah diperuntukkan oleh undang-undang bagi memastikan kedudukan Islam dan hak umat Islam terus terpelihara.
  • MARAN - Kementerian Sumber Manusia masih meneliti untuk memuktamadkan keputusan yang perlu diambil dalam menyelesaikan isu larangan bertudung melibatkan pekerja wanita Islam di hotel.
  • KUALA LUMPUR - Larangan bertudung terhadap pekerja wanita di bahagian kaunter hotel tidak boleh diterima atau dirunding kerana ia satu penghinaan yang melanggar tiga perkara dalam Perlembagaan Persekutuan, tegas Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz.
  • KUALA LUMPUR - Kementerian Kebudayaan dan Pelancongan digesa mengadakan pertemuan dengan semua pengusaha hotel dinegara ini termasuk yang bertaraf antarabangsa.
  • SHAH ALAM - Persatuan Hotel Malaysia (MAH) tidak mempunyai sebarang kuasa bagi menentukan peraturan atau polisi agar diikuti hotel-hotel di negara ini, termasuk polisi pemakaian tudung bagi pekerja yang bertugas bahagian perkhidmatan pelanggan (frontline).