KUALA LUMPUR - Kaum Melayu masih tertinggal dalam sektor pekerjaan profesional biar pun selepas negara 60 tahun mencapai kemerdekaan.

Persatuan Bekas Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Malaysia, Datuk Abdul Raof Hussin berkata, hari ini peratusan menunjukkan penguasaan dalam bidang akauntan, arkitek dan doktor masih rendah.

"Bidang akauntan pada tahun 2010 hanya mencatat 7.14 peratus dan meningkat sedikit kepada 8.1 peratus pada empat tahun kemudian. Bagi arkitek pula, hanya 37.5 peratus pada tahun 2010 berbanding tahun 2014 dengan 38.9 peratus.

"Manakala untuk doktor pula, berlaku penurunan di mana pada tahun 2014 sebanyak 46.4 peratus berbanding empat tahun sebelumnya 48 peratus. Kenapa ada penurunan?," katanya dalam Konvensyen Kebangkitan Ummah, di Pusat Islam, di sini hari ini.

Beliau berkata, sepatutnya ini sudah mencapai 70 peratus berdasarkan penduduk Islam dan Melayu.

Justeru beliau menyeru dan mencadangkan agar wujudkan sekolah satu aliran, mendesak supaya program dwi bahasa matematik sains dan teknologi dimansuhkan serta martabatkan sekolah kebangsaan dan institusi pendidikan agama sejajar institusi lain.

Katanya, beliau turut mendesak agar Perlembagaan Malaysia 153 Perkara 1 yang mana hak istimewa orang melayu dan bumiputera Sabah Sarawak dalam pendidikan penganugerahan biasiswa, penempatan dalam institusi pendidikan mesti dikembalikan kepada orang Melayu dan bukan orang lain.

"Ini kerana, ia sudah termaktub dalam perlembagaan dan wasiat raja-raja Melayu," katanya.

Mengulas tentang pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang menjadi percuma sekiranya peminjam menerima keputusan kelas pertama, Abdul Raof turut membidas perkara itu.

"Siapa jadi mangsa? Kita juga...sebanyak 78 peratus yang menjadi biasiswa adalah kepada bukan Melayu. Kenapa timbul perkara itu? Bukannya kita tidak pandai.

"Kalau dilihat, pergi ke Sabah Sarawak, kelas dengan kelengkapan yang teruk. Macam mana itu? Kita kena berjuang dan kembali ke dasar pendidikan negara," katanya.