SHAH ALAM - “Melayu yang begitu berani dulunya kini dah jadi penakut.”demikian kenyataan ‘pedas’ daripada bekas Ketua Polis Negara, Tun Hanif Omar yang beranggapan orang Melayu kini tidak berani mempertahankan hak mereka.

Mengambil contoh siaran akhbar berbahasa Cina daripada Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, Hanif menegaskan tindakan berkenaan harus diprotes kerana ia merupakan satu kesalahan.

“Bila Guan Eng buat kenyataan rasmi dalam bahasa Cina, saya kena protes sebab dalam undang-undang memang tak boleh. Tun (Tun Dr Mahathir Mohamad) tegur, kata ini satu kesilapan.

“Tapi dia (Guan Eng) kata ini Malaysia Baru, mana boleh, saya kena protes. Tua-tua saya pun, saya kena protes sebab undang-undang yang kata begini.

“Kalau nak guna bahasa lain, kami kena nyatakan keperluannya dan kepada siapa kenyataan itu ditujukan. Kalau nak beritahu orang Cina, mereka orang sini (Malaysia) dan bahasanya adalah Melayu,” tegasnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas selesai menjadi panelis dalam program Konvensyen Karamah Bangsa di Universiti Teknologi Mara (UiTM), di sini, hari ini.

Dalam perkembangan lain, Hanif mendedahkan tanah rizab Melayu kini hanya tinggal 12 peratus berbanding 50 peratus selepas negara merdeka.

Menurutnya, beliau dan beberapa pemimpin akan berjumpa dengan kerajaan tidak lama lagi dalam usaha membincangkan langkah penyelesaian untuk isu tersebut.

“Bila kita tahu itu hak kita, kita mesti pertahankan. Tiada siapa nak pertahankan selain kita. Kita asyik beralah, beralah, sanggup ke asyik beralah.

“Itulah masalah orang Melayu sampai dia takut nak mengaku Melayu sebab dicop rasis tapi dalam perlembagaan siapa yang disebut?

“(Yang disebut) Melayu, Bumiputera, Sabah, Sarawak. Orang Cina tiada, Orang India tiada, disebut sebagai lain-lain kaum,” ujarnya.