KUALA LUMPUR - Datuk Seri Najib Tun Razak menyifatkan mekanisme Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) di Malaysia bersifat progresif dengan mereka yang berpendapatan rendah menerima lebih banyak faedah bantuan kerajaan daripada hasil GST berbanding kelompok berpendapatan tinggi.

Perdana Menteri menjelaskan hal ini kerana pengecualian GST ke atas barang-barang asas memastikan mereka yang berpendapatan rendah tidak terkesan dengan pelaksanaan GST.

“Sementara mereka yang berpendapatan lebih tinggi, akan membelanjakan lebih banyak pendapatan mereka, sekali gus kutipan cukai ke atas mereka adalah lebih tinggi.

“Masih ada lagi salah faham tentang pelaksanaan GST di Malaysia, dan ada juga yang menganggap GST Malaysia suatu cukai regresif seperti GST atau VAT (cukai nilai tambah) yang dilaksanakan di negara-negara lain,” katanya menerusi catatan dalam blognya najibrazak.com, hari ini.

Perdana Menteri berkata, hasil kerajaan kini disalurkan secara bersasar terus kepada golongan berpendapatan rendah (B40) yang lebih memerlukan seperti program Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) untuk menangani kos sara hidup, bantuan persekolahan, bantuan kepada pesawah padi, nelayan, pekebun kecil serta pembayaran khas kepada penjawat awam berpendapatan rendah.

Najib berkata, program bantuan bersasar itu tidak mampu dilaksanakan jika mereka berpendapatan jauh lebih tinggi tidak menyumbang jumlah yang lebih besar.

“Ini bermakna meskipun golongan berpendapatan rendah turut membayar cukai GST pada kadar enam peratus, tetapi faedah dan manfaat yang diterima daripada pelaksanaannya sesungguhnya berlipat kali ganda berbanding golongan berpendapatan tinggi yang lain,” katanya.

Najib menegaskan bahawa pelaksanaan GST di Malaysia sudah pun mengambil kira keadaan ekonomi rakyat dan kerajaan hari ini terus berusaha menjamin kualiti hidup terbaik untuk semua rakyat Malaysia. - Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • SHAH ALAM - Cukai barangan dan perkhidmatan (GST) negara sebanyak enam peratus dijangka akan terus kekal kerana ia cukup bagi menampung keperluan perbelanjaan.
  • SHAH ALAM - Rakyat negara ini ingin melihat ke mana wang hasil kutipan cukai barang dan perkhidmatan (GST) dibelanjakan sama ada ia nyata atau sebaliknya.
  • KUALA PILAH - Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang dilaksanakan kerajaan telah menyelamatkan negara daripada ketidaktentuan ekonomi, kata Pengarah Komunikasi Strategik Kementerian Kewangan Datuk Lokman Noor Adam.
  • PUTRAJAYA - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (GST) telah dapat menyelamatkan negara daripada terjerumus dalam kancah kegawatan ekonomi.
  • PUTRAJAYA - Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) telah mengenal pasti lebih 5,000 syarikat terbabit dalam penipuan pungutan dan tuntutan balik Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) sejak ia dilaksanakan pada 1 April 2015.