KUALA LUMPUR - Universiti Antarabangsa Al-Madinah (Mediu) menafikan dakwaan mengatakan universiti itu melahirkan ekstremis Islam yang berfahaman militan dan wahabi.

Ketua Eksekutifnya, Prof Emeritus Dr Ismawi Zen berkata, Majlis Agama Islam Selangor (Mais) juga telah mengeluarkan surat memaklumkan Mediu bebas daripada fahaman wahabi.

Menurutnya, pihaknya juga menerima surat daripada polis membenarkan Mediu terus beroperasi dan menafikan kewujudan unsur negatif yang menjurus kepada radikal dan ekstremis dalam silibus pengajian mereka.

“Semuanya bermula dengan khabar angin pada 2016. Ada pihak memfitnah Mediu melahirkan ekstremis melalui pengajian di sini. Mais terus mengambil tindakan kepada kami dan kesannya, lesen kami digantung.

“Kami dilarang mengambil pelajar antarabangsa sejak 2016. Persepsi mendakwa kami wahabi dan lahirkan ekstremis terus tersebar. Ia memberi tekanan yang sangar berat kepada warga Mediu secara keseluruhannya.

“Sekarang semua sudah jelas. Mais buktikan kami bukan berfahaman wahabi. Khabar angin tersebar sebelum ini hanyalah prasangka dan kini ternyata ia tidak benar,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang media khas berkenaan isu tersebut di kampus baru Mediu, di sini, hari ini.

Meskipun Mediu terkesan teruk dengan fitnah itu namun Ismawi memaafkan pemfitnah tersebut malah mengakui pernah bertemu dengan individu itu secara berdepan.

“Kes ini memang sebenarnya kes naya sebab ini asalnya tohmahan peribadi malah orang itu juga mengaku dia yang bawa kes itu ke pihak atasan. Disebabkan fitnah itu, kami ambil masa lebih dua tahun untuk pulihkan imej Mediu.

“Ia memberi kesan kepada kewangan, kepada pengambilan pelajar. Memang tekanannya sangat besar. Orang yang memfitnah mungkin tidak fikir tindakannya yang dianggap kecil boleh memberi impak besar.

“Begitupun, kami lega semuanya sudah selesai. Saya lebih suka memaafkan malah saya rasa orang yang fitnah Mediu sudah sedar kesilapannya. ALLAH beri Mediu cabaran dan ia menjadikan kami lebih dewasa,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Mediu bercadang menyediakan peluang menyambung pelajaran kepada pelajar tahfiz di seluruh Malaysia.

“Kita bercadang berbuat demikian memandangkan baru-baru ini timbul isu berkaitan sekolah tahfiz. Kalau ada pihak tahfiz hadapi masalah untuk sambung pelajaran, Mediu boleh tawarkan tempat untuk mereka.

“Kita boleh tukarkan mereka dari pelajar tahfiz kepada jurutera cemerlang atau mungkin pekerja cemerlang dalam bidang lain. Selain itu, sekarang banyak pusat pemulihan akhlak dibuka.

“Saya dah jumpa mereka dan tawarkan program atas talian. Kita buat begitu supaya bila mereka buat pemulihan akhlak, mereka boleh menuntut ilmu peringkat universiti,” katanya.