KUALA LUMPUR - Datuk Seri Azlan Man yang baharu sahaja mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Perlis tadi telah dipecat sebagai ahli Umno kerana ingkar arahan parti.

Pengerusi BN Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim yang mengesahkan perkara itu berkata, keputusan tersebut telah dibuat tetapi masih menunggu pengumuman rasmi daripada Umno Pusat.

"Ini disebabkan perlantikan Azlan sebagai Menteri Besar Perlis tidak mendapat sokongan majoriti Adun daripada BN.

“Umno perlis dan BN Perlis memecat Azlan Man berkuatkuasa hari ini. Jadilah menteri besar tanpa parti,” katanya dalam sidang media bersama Umno Perlis di ibu pejabat Umno, di sini, hari ini.

Sidang media tersebut turut dihadiri sembilan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) BN yang tidak bersetuju dengan pelantikan Azlan sebagai Menteri Besar.

Mengulas lanjut, Shahidan menganggap pelantikan Azlan itu sebagai tidak adil kerana pelantikannya bukanlah melalui sokongan majoriti.

"Seminggu sebelum raya nanti, semua sembilan Adun BN ini akan menghadap raja untuk lantikan Menteri Besar yang dipilih. Saya juga berharap Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad masuk campur bagi membetulkan perkara ini.

"Kami berhak tentukan siapa pemimpin kami," katanya.

Terdahulu, Azlan, 60, yang juga Adun Bintong sah menjadi Menteri Besar Perlis untuk penggal kedua apabila mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar di Balai Menghadap, Istana Arau, Arau, hari ini.

Bagaimanapun, sembilan Adun BN tidak hadir pada istiadat mengangkat sumpah berkenaan dan hanya 3 Adun Pakatan Harapan serta 2 Adun PAS yang hadir.

Shahidan sebelum ini menamakan adiknya, Datuk Ismail Kassim sebagai calon Menteri Besar baharu.

Pada PRU14 lalu, BN memperoleh 10 kerusi Dun, Pakatan Harapan (3) dan Pas (2) untuk Perlis.