GONG KEMUNTONG - Kerajaan Negeri mendapat lampu hijau daripada Kerajaan Pusat untuk kerja pembinaan fasa pertama lebuh raya dari Keruak di Hulu Besut ke Gunung Bongsu, Hulu Terengganu yang akan bermula tahun ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said berkata, projek peringkat pertama dari Keruak ke Kampung Subhanallah sejauh kira-kira 14 kilometer itu bernilai RM108 juta.

Menurutnya, kajian dan kerja pengukuran projek pembinaan lebuh raya empat lorong yang keseluruhannya sepanjang 45 kilometer itu sudah bermula sejak dua tahun lalu.

“Ini bukti janji kita, walaupun terdapat sedikit kelewatan dalam pelaksanaannya tetapi kita akan tunaikan,” katanya ketika melakukan lawatan kerja sehari ke semua kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) di daerah ini.

Ahmad berkata, projek ini untuk kemudahan rakyat kerana ia menghubungkan ke Kuala Lumpur melalui Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) atau ke Simpang Pulai, Perak melalui Gua Musang, Kelantan.

Pada lawatan itu juga, Ahmad meluluskan peruntukan sebanyak RM800,000 kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk kerja membaik pulih jalan di hadapan jirat Cina Kampung Gong Penaga dekat Jabi.

Peruntukan diluluskan berikutan laporan diterima mengenai kemalangan jalan raya termasuk kemalangan maut yang kerap berlaku akibat jalan di situ rosak teruk.

“Kerajaan mahu memastikan jalan tersebut dalam keadaan baik dan selesa untuk pengguna bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini,” katanya.

Ahmad turut meluluskan peruntukan kira-kira RM6 juta kepada Majlis Daerah Besut (MDB) bagi kerja menaik taraf sistem perparitan dan membaiki jalan perbandaran di daerah ini tahun ini.


www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.