SHAH ALAM - [DIKEMASKINI] Matlamat pemberian subsidi perlu jelas supaya fungsinya sebagai instrumen ekonomi dapat dicapai.

Pengarah Eksekutif Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER), Prof Emeritus Dr Zakariah Abdul Rashid berkata, jika langkah itu dilakukan, negara dan rakyat akan menerima manfaat.

Mengambil contoh galakan menggunakan pengangkutan awam berbanding kenderaan persendirian, katanya, kerajaan boleh menjadikan perkhidmatan pengangkutan awam lebih murah.

"Ini kerana sistem harga kita sekarang sudah terherot. Kita tidak boleh bergantung semata-mata kepada 'free market' dan lain-lain disebabkan harga yang terherot tadi. Maka sebab itu ada subsidi seperti ini," katanya dalam program Wacana Sinar Harian ke-74 bertajuk 'Subsidi Bersasar? Ya atau Tidak' di Dewan Karangkraf, di sini, hari ini.

Zakariah berkata, soal subsidi bersasar sepatutnya tidak timbul kerana ia sememangnya bersasar bukan sahaja dalam keadaan negara yang mempunyai ruang fiskal terhad, tetapi juga ketika mewah.

Jika tidak bersasar, katanya, ia akan menimbulkan kesan tidak baik yang mengundang herotan kepada pasaran.

"Jadi sepatutnya dalam keadaan sempurna tak perlu ada subsidi, tapi dunia kita tahu tidak sempurna begitu.

"Jadi subsidi itu perlu ada malah saya fikir subsidi itu harus menjadi satu instrumen kepada ekonomi untuk mengagih semula atau untuk memberi manfaat kepada golongan tertentu sama ada golongan B40 atau pengguna tertentu," katanya.