SHAH ALAM - Presiden Amanah, Mohamad Sabu berpuas hati dengan prestasi menteri dan timbalan menteri daripada kalangan pemimpin parti itu.

Namun begitu, beliau berkata prestasi pemimpin-pemimpin terlibat masih perlu ditingkatkan lagi selepas ini bagi memastikan kerajaan memiliki barisan kabinet yang kukuh dalam pentadbiran negara.

“Kita ‘happy’ dengan prestasi menteri dan timbalan menteri daripada kalangan pemimpin Amanah buat masa ini (namun) ia perlu ditingkatkan lagi,”katanya kepada pemberita selepas mengikuti Kongres Nasional PKR ke-13 di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) hari ini.

[ARTIKEL BERKAITAN:  Rombak kabinet selepas pemilihan PKR: Tun M]

Sebelum ini, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad memaklumkan bahawa pihaknya terbuka untuk merombak Kabinet selepas pemilihan PKR yang berakhir hujung minggu lalu.

Ketika ditanya sama ada Dr Mahathir berhasrat untuk melakukan rombakan terhadap menteri dan timbalan menteri Amanah, Mohamad atau lebih mesra dengan panggilan Mat Sabu memaklumkan bahawa pihaknya masih belum mendengar sebarang perkembangan mengenai perkara itu.

“(Perkara ini) terserah kepada Perdana Menteri kalau ada (rombakan menteri),” katanya.

Dalam pada itu, mengulas mengenai dakwaan politik wang di dalam PKR yang merupakan parti komponen PH, Mohamad memaklumkan bahawa perkara itu merupakan satu tuduhan dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)akan menyiasat sekiranya ia benar.

“Saya pun dengar (perkara ini) daripada sebaran khabar angin dan saya tidak ambil berat (perkara ini),” katanya.