KUALA LUMPUR - Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu sentiasa menjadi perhatian termasuklah ketika beliau menghadiri sidang Parlimen.

Ahli Parlimen Kota Raja itu menjadi tumpuan media selepas pembantunya dikatakan menerima wang berjumlah kira-kira RM800,000.

Media sentiasa menantikan kehadiran beliau di bangunan Parlimen bagi mendapatkan penjelasan berkenaan isu tersebut namun ternyata beliau mempunyai cara tersendiri berhadapan media.

Wartawan, jurugambar dan jurukamera bersiap sedia di lobi Parlimen apabila mengetahui beliau mahu keluar namun apa yang ‘dicita-citakan’ tidak kesampaian.

Sebaik membuka pintu dan melihat media sudah berkumpul, Mohamad hanya senyum dan melambai kepada media sebelum masuk semula ke dalam Dewan Rakyat.

Tindakannya itu disambut dengan ketawa daripada pengamal media yang mungkin tahu beliau belum bersedia untuk menjawab soalan daripada media.

Baru-baru ini, seorang daripada pegawai kanan beliau disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Pegawai itu didakwa menerima wang berjumlah RM800,000 daripada beberapa pihak untuk membantu menyelesaikan masalah hutang supaya namanya dapat dikeluarkan daripada status muflis.