KUALA LUMPUR – [DIKEMASKINI] Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik akan menemui kumpulan mahasiswa yang mengadakan demonstrasi membantah pelantikannya sebagai Presiden Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Rabu ini.

Maszlee berkata beliau memberi jaminan akan bertemu mahasiswa berkenaan secepat yang mungkin untuk mendengar sendiri pandangan mereka.

"Sebagai tindakan susulan saya telah meminta pegawai saya untuk mengaturkan masa yang sesuai iaitu pada Rabu ini untuk bertemu dengan kumpulan yang mengadakan protes itu.

“Langkah itu diambil memandangkan saya tidak dapat memenuhi permintaan kumpulan memprotes yang berkeras mahu bertemu dengan saya secara bersemuka serta-merta, kerana berada di Sarawak untuk lawatan kerja,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Pada awalnya, Maszlee berkata beliau dimaklumkan kesemua mereka yang terlibat adalah pelajar, tetapi maklumat terperinci menunjukkan sebahagian adalah aktivis daripada beberapa pertubuhan bukan kerajaan.

Katanya sepanjang berada di kawasan Blok E8 kementerian, kumpulan berkenaan diberi layanan yang baik termasuk menyediakan makanan, minuman dan keperluan asas lain serta mengambil maklum pandangan dan tuntutan mereka.

Maszlee berkata, pegawai kementerian turut memastikan kebajikan kumpulan berkenaan termasuk mengadakan perbincangan dengan pihak polis yang menahan mereka untuk disoal siasat.

"Kedua-dua mereka dibebaskan dengan jaminan awal pagi tadi.

“Saya menghormati hak mereka untuk bersuara. Menghormati hak bersuara dan kebebasan bersuara mahasiswa adalah satu daripada lebih 40 inisiatif 100 hari pertama saya menerajui Kementerian Pendidikan,” katanya.

Maszlee turut memberi jaminan bahawa beliau amat prihatin dalam soal kebebasan untuk bersuara mahasiswa dan autonomi universiti akan terus diperkasakan.

“Saya akan meneruskan dasar pintu terbuka untuk bertemu dengan pemegang-pemegang taruh demi memartabatkan sistem pendidikan negara," katanya.

[ARTIKEL BERKAITAN:  'Letak jawatan atau kami buat bantahan besar-besaran']

Semalam, satu bantahan aman dilakukan oleh beberapa mahasiswa di Kompleks Kerajaan Parcel E, Putrajaya sebagai tanda protes dan menggesa Maszlee meletak jawatan sebagai Presiden Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).