KUALA LUMPUR - Masyarakat perlu lebih berwaspada dalam membicarakan hal-hal atau isu sensitif terutama yang menyentuh kaum atau agama, kata Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Datuk Che Mat Che Ali.
Beliau berkata ini kerana dalam masyarakat majmuk yang berbilang kaum, agama dan budaya, wujud isu-isu sensitif yang boleh menimbulkan ketegangan dalam masyarakat.
"Isu-isu ini tidak sepatutnya timbul dan dibicarakan secara terbuka, walaupun atas dasar ketelusan, kerana boleh membawa banyak keburukan daripada kebaikan," katanya ketika merasmikan sambutan Maulidur Rasul 1433 Hijrah/2012 Masihi peringkat Wilayah Persekutuan di sini hari ini.
Che Mat berkata terdapat pelbagai kaedah, saluran, platform dan wadah yang boleh digunakan ketika berbincang hal-hal yang sensitif.
"Masyarakat perlu lebih bijak dan hikmah dalam membicarakan sesuatu isu yang menyentuh kaum atau agama untuk menjaga keharmonian hidup bermasyarakat," katanya.
Che Mat berkata masyarakat harus mengamalkan sikap kesederhaan dan keseimbangan (wasatiyyah) yang merupakan asas bagi mewujudkan persefahaman.
Beliau berkata persefahaman di kalangan masyarakat perlu diwujudkan kerana ia mengeratkan persaudaraan, semangat kekitaan dalam masyarakat serta saling bantu-membantu di antara satu sama lain.
Katanya, semangat melampau yang berteraskan perkauman, kepartian dan taksub kepada kepimpinan dan ideologi tertentu sebaliknya boleh menjurus kepada kemusnahan perpaduan di kalangan masyarakat serta melemahkan kestabilan sosio-politik negara.
Beliau berkata wasatiyyah merujuk kepada pelaksanaan sesuatu perkara itu secara berhikmah, berimbang bagi menentukan tidak berlaku kekerasan, kezaliman ke atas hak asasi kaum dan agama dan dalam masa yang sama agama Islam dapat dimartabatkan.
Sambutan Maulidur Rasul pada tahun ini bertemakan Persefahaman Asas Perpaduan Ummah. Pada majlis itu, Dr Zulkifli Mohammad Al-Bakri menerima Anugerah Tokoh Maulidur Rasul.- Bernama
Masyarakat perlu waspada bercakap hal sensitif agama
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini.
Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.





