KUALA LUMPUR - Majlis Amanah Rakyat (Mara) tidak akan berkompromi dengan sebarang salah guna kuasa dan penyelewengan yang melibatkan kepentingan awam.

Kenyataan itu dibuat Mara susulan kes mahkamah melibatkan seorang pegawainya yang didakwa hari ini di Mahkamah Sesyen Shah Alam, Selangor, atas kesalahan berkaitan penyelewengan dan salah urus tadbir urusan pembiayaan perniagaan majlis itu di Pejabat Mara Daerah Klang, Selangor.

Mara berkata, pihaknya akan memberikan kerjasama penuh dalam prosiding kes berkenaan untuk memastikan integriti Mara sentiasa terpelihara.

"Kes ini mula dikesan pihak Mara pada April 2014 dan satu siasatan dalaman telah dijalankan oleh Bahagian Audit Dalam Mara berkaitan kes ini.

"Hasil siasatan tersebut telah dipanjangkan ke Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk diambil tindakan sewajarnya di bawah peruntukan undang-undang sedia ada," katanya.