KUALA LUMPUR - Majlis Amanah Rakyat (Mara) melalui institusi pendidikan dan kemahiran miliknya, bersedia menyediakan platform untuk terus membantu meningkatkan perkembangan sosioekonomi masyarakat Islam di rantau Asean.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, perkara itu dilihat mampu memperkukuh agenda untuk sama-sama membangunkan masyarakat Islam di rantau ini, khususnya yang tinggal di negara dengan minoritinya penduduk Islam.

“Pada program Persidangan Antarabangsa NGO Islam Asean dan OIC 2018, saya juga menawarkan kepada NGO Islam dalam usaha meningkatkan perkembangan sosioekonomi masyarakat Islam, misalnya Mara yang mempunyai institusi Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (Tvet).

“Bermula dari peringkat bawah hingga peringkat tinggi, kita mempunyai platform pendidikan ini, jadi kita boleh menerima pelajar Islam dari negara Asean untuk belajar di institusi pengajian di bawah Mara," katanya kepada pemberita pada sidang media selepas merasmikan persidangan berkenaan, yang berlangsung selama dua hari bermula hari ini di Kuala Lumpur.

Sementara itu beliau berkata, Institut Kerjasama Islam Antarabangsa Malaysia (Ikiam) akan terus membantu kalangan siswazah jurusan agama, sebab mereka dilihat mungkin kurang pendedahan.

“Dengan peruntukan RM40 juta seperti diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, melalui institusi Giat Mara, mungkin boleh melatih mereka dalam bidang tertentu dari segi kemahiran, jadi selepas keluar dari institusi tahfiz misalnya, mereka juga ada sijil kemahiran lain selain hufaz,” katanya.

Program anjuran Ikiam itu disertai lebih 500 peserta, bukan sahaja dari dalam negara, bahkan turut disertai Indonesia, Brunei, Thailand, Filipina, Kemboja, Vietnam dan lain-lain.

Membawa tema 'Memperkukuh Misi Kemanusiaan dan Membina Jaringan Program Sosio-Ekonomi', persidangan itu dijangka turut membincangkan kerjasama agenda perkembangan Islam bersama negara serantau.