KUALA LUMPUR - Majlis Amanah Rakyat (Mara) melalui institusi pendidikan dan kemahiran miliknya bersedia untuk menyediakan platform bagi terus membantu meningkatkan perkembangan sosio-ekonomi masyarakat Islam di rantau Asean.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, perkara itu dilihat mampu memperkukuh agenda untuk sama-sama membangunkan masyarakat Islam di rantau ini khususnya yang tinggal di negara yang minoritinya penduduk Islam.

“Dalam Program Persidangan Antarabangsa NGO Islam Asean dan OIC 2018, saya juga menawarkan kepada NGO Islam dalam usaha meningkatkan perkembangan sosio-ekonomi masyarakat Islam, misalnya Mara yang mempunyai institusi Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (Tvet).

“Bermula dari peringkat bawah hingga peringkat tinggi kita mempunyai platform pendidikan ini, jadi kita boleh menerima pelajar Islam dari negara Asean ini untuk belajar di institusi pengajian di bawah Mara.

“Selain itu, Institut Kerjasama Islam Antarabangsa Malaysia (Ikiam) pula akan terus membantu kalangan siswazah jurusan agama, sebab kita lihat mereka mungkin kurang pendedahan.

“Dengan peruntukan RM 40 juta seperti diumumkan Perdana Menteri, melalui institusi Giat Mara mungkin boleh melatih mereka dalam bidang tertentu dari segi kemahiran, jadi selepas keluar dari institusi tahfiz contohnya, mereka juga ada sijil kemahiran lain selain daripada hufaz,” katanya kepada pemberita.

Ismail Sabri berkata demikian ketika sidang selepas hadir merasmikan Program Persidangan Antarabangsa NGO Islam dan OIC 2018 yang berlangsung selama dua hari bermula hari ini di Kuala Lumpur.

Program anjuran Ikiam itu disertai lebih 500 peserta bukan sahaja dari dalam negara bahkan dari beberapa buah negara luar lain seperti Indonesia, Brunei, Thailand, Filipina, Kemboja, Vietnam dan lain-lain.

Membawakan tema Memperkukuh Misi Kemanusiaan dan Membina Jaringan Program Sosio-Ekonomi, persidangan berkenaan dijangka akan membincangkan kerjasama agenda perkembangan Islam bersama negara serantau.