SHAH ALAM - Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) menggesa sidang Parlimen yang sedang berlangsung sekarang segera mengusulkan pendirian Malaysia mengenai situasi di Gaza, Kashmir dan keadaan pelarian Rohingya di Myanmar dan Bangladesh.

Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, Mapim berharap Parlimen yang bersidang memberi waktu khas untuk membincangkan isu-isu mengenai orang Islam di negara berkenaan dan meluluskan resolusi yang dapat dihantar kepada agensi antarabangsa yang berkaitan.

Menurutnya, Malaysia perlu mengambil inisiatif untuk berperanan menyelesaikan isu-isu yang berkaitan dan mengeluarkan kenyataan rasmi untuk disiar kepada media dunia.

“Sejak 30 Mei lalu, lebih 140 rakyat Palestin mati dan lebih 16,000 cedera ditembak di Gaza oleh tentera pengganas Israel. Rakyat Palestin yang bangkit untuk kembali ke tanah mereka yang dijamin di bawah Resolusi 142 PBB telah ditembak dengan brutal oleh tentera kejam rejim Israel.

“Yang terbunuh termasuk kanak-kanak, remaja, wanita, warga tua, jurnalis dan pekerja bantuan perubatan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Azmi berkata, serangan udara dan pengeboman paling sengit sejak serangan 2014 lalu sedang dilancar oleh tentera penceroboh Israel ke atas Gaza.

Menurutnya, paling parah ialah rakyat biasa menjadi mangsa walaupun Israel mendakwa serangan disasar kepada lokasi pejuang Hamas.

”Hakikatnya sejak 2007 kepungan haram Israel ke atas Gaza dikuatkuasakan, rakyat Palestin di Gaza menderita akibat terputus makanan, ubatan, bekalan air bersih dan elektrik, prasarana pendidikan dan kesihatan, kediaman yang musnah serta kepungan ke atas pergerakan keluar dan masuk rakyat Gaza.

“Kini lebih 2 juta rakyat Gaza hidup dalam keadaan yang sangat sukar bila 80 peratus daripada penduduk bergantung kepada bantuan luar,” katanya.

Menyentuh mengenai keadaan di Jammu Kashmir pula, Azmi menyatakan keadaan di negara berkenaan sangat meruncing apabila pembunuhan berleluasa terhadap orang awam Kashmir oleh tentera India.

Menurutnya, berita yang jarang tersiar mendedahkan operasi menangkap, menyeksa dan membunuh rakyat Kashmir jauh lebih teruk dari apa yang berlaku di Palestin.

“Laporan mengenai penafian hak dan operasi genosid oleh tentera India sangat berleluasa berlaku di Kashmir. Pembunuhan tanpa pembicaraan (extrajudicial murder) berlaku dengan sangat kerap dan tidak ada bantahan antarabangsa disuarakan,” katanya.

“Manakala situasi 1.3 juta pelarian Rohingya di Bangladesh dan lebih 200,000 ribu di kem pelarian dalaman (IDP) di Arakan berada dalam keadaan hidup atau mati. Mereka bertarung hidup dalam keadaan sangat dhaif di kem-kem pelarian tanpa perlindungan, tanpa makanan dan rawatan kesihatan yang mencukupi.

Menurutnya, hampir separuh dari pelarian Rohingya di luar dan di dalam Myanmar adalah kanak-kanak.

“Genosid dan pembersihan etnik masih terus berlaku di Myanmar. Situasi kemanusiaan di kem pelarian sama ada di Bangladesh mahupun Myanmar amat menyedihkan. Bencana musim monsun baru-baru ini telah memusnahkan ribuan khemah perlindungan pelarian Rohingya.

”Perjanjian antara Bangladesh dan Myanmar untuk repatriasi pelarian Rohingya dihantar balik ke Myanmar masih dalam keadaan tidak menentu kerana isu jaminan keselamatan tidak dirunding dengan yakin,” katanya.

Azmi menegaskan, yang jelas, isu Rohingya yang tempias kesannya ke rantau Asean mewajarkan Malaysia bertindak menekan Asean, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan  Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) untuk memaksa Myanmar tunduk kepada undang-undang antarabangsa.