SHAH ALAM - Modus operandi sindiket penipuan scam melalui panggilan palsu sering berlaku hingga masih terdapat segelintir individu mudah terpedaya sekaligus mengalami kerugian mencecah puluhan ribu ringgit.

Di Twitter tular perkongsian pengalaman individu yang terpedaya dengan scam dan tweet itu turut mendapat reaksi lebih dari 2,600 netizen.

Pemilik Twitter Fitnaim memberitahu dia telah menerima panggilan dari scammer Isnin lalu dan kaedah digunakan mereka sangat menyakinkan hingga dirinya mudah terpedaya.

Katanya, ramai bertanya tentang kes tersebut akhirnya dia berkongsi pengalaman bagi memberi pengajaran kepada orang ramai tentang bahana scammer.

"Saya menerima panggilan 9.45 pagi dari sebuah bank dan memberitahu ada tunggakan hutang sebanyak RM3,375 dan jumlah pinjaman yang pernah dilakukan sebanyak RM4,500. Pinjaman itu dilakukan pada Jun lalu dan diluluskan pada 15 Jun.

"Pihak terbabit juga menyakinkan akaun peminjam itu dibuka di Melaka dan saya telah menafikan membuat pinjaman," katanya.

Bagaimanapun, selang 30 minit, telefonnya telah disambung kepada pegawai polis dan siasatan dilakukan.

"Saya disoal siasat dan mereka bertanyakan bank mana sering digunakan dan bertanya juga jumlah wang di dalam bank.

"Dengan penuh yakin, mereka juga memberitahu saya terlibat dalam kes penggubahan wang haram dan dadah. Sememangnya saya menafikan perkara itu malah ketika itu, saya tidak timbul syak wasangka yang mereka itu sedang menipu," katanya.

Malah katanya, pihak berkenaan turut memintanya mengeluarkan wang di dalam bank bagi mengelakkan aset dibekukan dan tanpa diragui kesahihan itu satu transaksi dilakukan ke akaun mereka.

Tambahnya, segala komunikasi antara pihak terbabit sangat menyakinkan malah seolah-olah dipukau kerana menurut sahaja apa yang dipinta.

Rentetan itu, dia telah membuat laporan polis berhubung kes tersebut dan reda atas apa berlaku.