SINGAPURA - Malaysia kini menantikan langkah mempercepat perjanjian Kod Tatalaku (COC) di Laut China Selatan dan berharap untuk melihat satu Deklarasi Tatalaku Pihak Berkepentingan (DOC) "yang bersih" di kawasan itu, kata Menteri Luar Malaysia Datuk Saifuddin Abdullah.

Asean dan China pada Khamis telah meneliti Draf Teks Rundingan Tunggal COC, yang akan menjadi dokumen hidup dan asas bagi rundingan pada masa depan.

“Hakikat bahawa kami telah tiba ke draf teks rundingan tunggal dalam COC, bagi saya, adalah satu kemajuan penting dan sudah tentu kami masih berbincang. Suka saya katakan bahawa perbincangan itu berjalan dengan amat lancar,” katanya kepada pemberita di luar Mesyuarat Menteri-Menteri Luar Asean ke-51 di sini pada Jumaat.

Beliau mengulas perkembangan terkini berkaitan COC dan kepentingannya kepada Malaysia.

“Isu terbesar ialah memastikan Laut China Selatan bebas daripada sebarang aktiviti yang boleh mendatangkan kebimbangan kepada negara anggota Asean dan pihak berkepentingan lain di rantau ini,” kata Saifuddin yang dilantik sebagai Menteri Luar Malaysia pada 2 Julai.

Menyentuh isu sama ada beliau, sebagai Menteri Luar Asean yang baharu, akan mengambil pendirian lebih keras berhubung isu Laut China Selatan, Saifuddin berkata “ia bukanlah berkaitan pendirian yang lebih keras.”

“Kami teruskan dengan pendirian tegas kami, bahawa ia perlu bebas dan tanpa keagresifan... rakyat perlu bersabar,” katanya.

Mengulas konflik Rakhine, Saifuddin berkata Malaysia sentiasa tegas dalam isu itu dan telah menggesa agar konflik tersebut diselesaikan.

Beliau berkata Malaysia juga gembira melihat kerajaan Myanmar melibatkan Suruhanjaya Penasihat di Negeri Rakhine yang diketuai Yayasan Kofi Annan.

Menurut satu Kenyataan Bersama pada Khamis, Asean berkata Myanmar telah mencapai kemajuan dalam melaksanakan cadangan laporan akhir Suruhanjaya Penasihat dan menggalakkan negara itu untuk terus melaksanakan cadangan selebihnya.

Kumpulan 10 negara serantau itu pada Khamis telah meminta agar satu penyelesaian yang menyeluruh dan tahan lama dicari bagi menangani punca konflik di Negeri Rakhine, Myanmar.

Menjawab soalan berkaitan perang perdagangan, Saifuddin berkata jika ia berterusan, semua pihak akan terjejas.

“Saya fikir secara umum. kita semua bimbang dengan perang perdagangan yang sedang berlaku. Semua negara anggota Asean adalah negara perdagangan. Kami berdagang dengan China, kami berdagang dengan Amerika Syarikat, kami berdagang dengan Eropah, dan apa yang kami inginkan -- kami hanyalah sekumpulan negara kecil -- (ialah) untuk berdagang secara bebas dan adil,” katanya.

Amerika Syarikat telah menggoncang asas-asas perdagangan global dengan meluas apabila mengenakan tarif ke atas barangan dari Kesatuan  Eropah (EU), Kanada, Mexico dan China. –Bernama