PUTRAJAYA - Malaysia akan mempertingkatkan inisiatif pengantarabangsaan halal  agar berpotensi menarik minat dunia untuk menjadikan Malaysia sebagai pusat kecemerlangan halal global, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, antara inisiatif tersebut adalah menerusi penganjuran program-program antarabangsa baharu seperti Multaqa Lembaga Pihak Berkuasa Halal (IHAB) dan Pameran Inovasi dan Teknologi Halal (HITEx).

"Program-program sebegini akan dapat menzahirkan kepada masyarakat dunia bahawa Halal Malaysia adalah istimewa dan tidak hanya terhad kepada produk serta makanan halal sahaja," katanya dalam satu kenyataan selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Halal Malaysia di sini, hari ini.

Ahmad Zahid berkata Malaysia akan turut memanfaatkan aspek halal yang dikenal pasti sebagai sumber ekonomi baharu dengan sebaik-baiknya menerusi Program Transformasi Ekonomi lslam yang dilihat mampu mengubah corak ekonomi lslam semasa agar lebih berdaya saing dan maju.

Pada mesyuarat berkenaan, beliau turut melancarkan Aplikasi SMART HALAL yang mampu memudahkan pengguna mendapatkan maklumat berkaitan status sijil Pengesahan Halal Malaysia secara lebih pantas serta tepat.

Timbalan Perdana Menteri berkata aplikasi yang boleh dimuat turun telefon pintar menerusi Play Store atau App Store, adalah hasil kerjasama antara Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan Jabatan  Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menerusi inisiatif Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS).

Selain itu, beliau berkata sebanyak sembilan kertas  pembentangan oleh JAKIM, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri serta Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju) turut dibincangkan dalam mesyuarat tersebut.

Ini termasuk laporan Inisiatif Pembangunan Pensijilan Halal Malaysia, laporan status terkini pembangunan Pelan Industri Halal Malaysia 2018-2030, cadangan penganjuran Multaqa IHAB, cadangan penganjuran HITEx 2018 serta cadangan Program Transformasi Ekonomi Islam.

Menurut Ahmad Zahid, perkara lain yang turut dibincangkan ialah status terkini inisiatif Pengantarabangsaan Halal dalam Kerangka Pembangunan Industri, status Dana Pemudahcara Bumiputera, impak penganjuran Halal Fiesta ASEAN (HALFEST ASEAN 2017 serta hasil penganjuran Pameran Halal Antarabangsa Malaysia 2017 (MIHAS 2017). - Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • SHAH ALAM - Usahawan tempatan diminta berusaha mengembangkan produk halal dan meningkatkan mutu pengeluarannya ke peringkat antarabangsa.
  • SHAH ALAM - Bahagian Hab Halal, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) tidak pernah memberikan Sijil Pengesahan Halal Malaysia untuk minyak masak dikitar semula.
  • KUALA LUMPUR - Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom menegaskan sehingga kini tiada sijil halal dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk minuman 'bir halal' atau mana-mana produk menggunakan nama menyerupai atau dikaitkan dengan perkara yang haram.
  • NILAI - Negara memerlukan 5,000 Eksekutif Halal lagi menjelang 2019 bagi memenuhi permintaan tinggi daripada industri itu, kata Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Mohamad Nordin Ibrahim.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.