Anifah Aman
KUALA LUMPUR - Malaysia hari ini mengulangi kesediaannya menghulurkan bantuan kemanusiaan berikutan pergolakan di Rakhine, Myanmar.
Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman berkata, perkara itu disampaikannya kepada Menteri Luar Myanmar, Wunna Maung Lwin, semasa menelefon beliau pagi tadi.
Beliau berkata, Wunna menyatakan penghargaan Myanmar kepada kerajaan dan rakyat Malaysia di atas sokongan dan tawaran bantuan kemanusiaan kepada negara itu berikutan keadaan di Rakhine.
"Menurut Wunna Maung Lwin, situasi di Rakhine adalah terkawal dan justeru itu, keperluan mendapatkan bantuan dari negara-negara anggota ASEAN tidak timbul buat masa ini.
"Bagaimanapun, beliau ada menyatakan bahawa Malaysia akan dihubungi sekiranya ada keperluan bagi mendapatkan bantuan," katanya dalam satu kenyataan di sini, malam tadi.
Anifah berkata, Malaysia sentiasa mengekalkan dasar tidak campur tangan terhadap urusan dalaman sesebuah negara.
Malaysia percaya tiada negara terutamanya negara anggota ASEAN patut dibiarkan bersendirian di waktu kesusahan tanpa sebarang tawaran bantuan.
"Dalam hubungan ini, saya juga menyampaikan perutusan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak kepada Presiden Thein Sein bahawa tawaran bantuan Malaysia kepada Myanmar lahir daripada rasa tanggungjawab dan semangat kejiranan dalam
kalangan anggota keluarga ASEAN ke arah penubuhan Komuniti ASEAN pada 2015 kelak," katanya. - Bernama




