KUALA LUMPUR - Menteri Pembangunan Usahawan Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof optimis Malaysia sekarang sudah bersedia dan berkeupayaan untuk menghasilkan projek kereta nasional baharu.

Malah, beliau berkata dengan sokongan kuat daripada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang sebelum ini mewujudkan Proton, tidak mustahil aspirasi itu dapat dicapai sekali lagi.

"Kita boleh belajar daripada lepas (Proton)...apa sahaja kelemahan yang kita ada kita belajar dan kita tambah baik dengan penggunaan teknologi terkini hari ini," katanya ketika menjadi tetamu dalam program Ruang Bicara terbitan Bernama News Channel (BNC) di sini, malam ini.

Pada Jun lalu, Dr Mahathir menyuarakan cadangan untuk mewujudkan kereta nasional baharu bagi menggantikan Proton yang sudah tidak lagi dianggap sebagai jenama kereta nasional selepas hampir separuh ekuitinya dijual kepada syarikat asing, Geely.

Mohd Redzuan berkata Proton dahulu menjadi titik tolak dalam melahirkan ramai usahawan, yang beliau lihat sudah bersedia, lebih kompetitif, berintegriti tinggi dan dengan teknologi automatif yang ada, bila-bila masa sahaja projek kereta nasional boleh dimulakan.

Mengenai rungutan ada vendor kurang keyakinan tetapi berminat dengan projek kereta nasional itu, beliau mahu mereka mengubah paradigma dengan lebih berani dan mencontohi vendor tempatan lain yang kini bergiat maju di luar negara.

Justeru, katanya satu persekitaran ekosistem atau rangkaian vendor yang berdisiplin dan berdaya saing perlu ada untuk mereka lebih maju ke hadapan.- Bernama