PUTRAJAYA – Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini berkata, kerajaan akan mengkaji semula dan mungkin “menamatkan” perjanjian dengan syarikat penerokaan dasar laut berpangkalan di Amerika Syarikat yang menjalankan misi pencarian pesawat Malaysia Airlines MH370 yang hilang.

Beliau berkata, kerajaan ingin mengetahui butiran dan keperluan pencarian itu yang dijalankan oleh Ocean Infinity Limited.

“Jika kita mendapati ia tidak perlu, kita tidak akan memperbaharuinya… Kita akan mengkaji semula kontrak. Kita mungkin menamatkannya jika ia tidak berguna,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat pertama Kabinet baharun di Perdana Putra.

Pesawat MH370 bersama 239 penumpang dan kru hilang daripada imbasan radar ketika dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing pada 8 Mac 8 2014 dan kehilangan pesawat tersebut disifatkan sebagai insiden paling menimbulkan misteri dalam sejarah penerbangan dunia.

Australia, Malaysia dan China secara bersama menggantung usaha pencarian MH370 di bawah permukaan laut selama dua tahun pada Januari tahun lalu namun tiada tanda-tanda pesawat itu ditemukan di kawasan pencarian meliputi 120,000 km persegi di selatan Lautan Hindi.

Setakat ini, hanya tiga serpihan disahkan dari MH370 ditemukan di pantai barat Lautan Hindi termasuk bahagian sayap sepanjang dua meter dikenali sebagai “flaperon”.

Operasi dijalankan Ocean Infinity, yang diberi mandat rasmi untuk pencarian meliputi kawasan seluas 16,000 km persegi awal tahun ini, gagal menemukan sebarang bukti konkrit. - Bernama