ISTANBUL – TURKI. Malaysia hari ini menggesa sokongan Kumpulan Lapan Negara Membangun (D-8) bagi menghulurkan bantuan segera di Cox's Bazar, Bangladesh, yang kini menempatkan lebih 500,000 etnik Rohingya yang melarikan diri daripada negara mereka untuk mendapatkan perlindungan.

Menceritakan pengalamannya melawat kem pelarian Rohingya di Kutupalong di  Cox's Bazar awal minggu ini, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, pelarian Rohingya hidup dalam keadaan serba daif.

“Kami menggesa negara anggota D-8 untuk menghulurkan bantuan dalam apa-apa cara yang mereka mampu untuk mengurangkan penderitaan pelarian Rohingya berkenaan.

“Dalam soal ini, saya memuji Bangladesh atas usaha murni mereka dalam menyediakan tempat perlindungan kepada pelarian Rohingya," katanya semasa menyampaikan kenyataan negara pada Sidang Kemuncak D-8 di sini.

Bertema "Memperluas Peluang Melalui Kerjasama", sidang kemuncak itu menandakan ulang tahun ke-20 D-8 sejak penubuhannya pada 1997.

Ahmad Zahid juga berkata Malaysia akan mendirikan hospital lapangan dilengkapi 50 katil di Cox’s Bazaar untuk membolehkan lebih ramai pelarian menerima penjagaan kesihatan lebih baik, dan menurutnya hospital itu akan beroperasi dalam masa sebulan dari tarikh lawatannya.

Beliau berkata untuk menangani isu (Rohingya), kerajaan Myanmar perlu membenarkan akses tanpa halangan bagi bantuan kemanusiaan untuk sampai kepada golongan sasar di zon krisis.

Beliau percaya pelaksanaan  cadangan-cadangan  dalam Laporan Suruhanjaya Penasihat  Rakhine berkaitan dengan aspek pembangunan sosio-ekonomi akan dapat memperbaiki situasi sosio-ekonomi masyarakat Rohingya.

“Bagaimanapun, ini hanya boleh dijayakan sekiranya wujud kestabilan politik,” katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid turut menggesa negara anggota  D-8 untuk bekerjasama dalam mencartakan hala tuju strategik untuk memaksimumkan potensi industri pelancongan.

“Malaysia berpandangan bahawa kita perlu memberi lebih penekanan dan melabur lebih banyak dalam sektor pelancongan. Kita perlu melabur lebih banyak untuk infrastruktur lebih baik dan meningkatkan kesalinghubungan kerana pelancongan dan kesan bergandanya boleh menjana pelbagai faedah ekonomi kepada negara D-8.

“Negara D-8 kaya dengan warisan kebudayaan dan sejarah. Perbezaan tarikan kita dari segi geografi mempunyai potensi untuk menjadikan kita sebagai destinasi pilihan pelancong,” katanya.

Beliau berkata Malaysia telah mendapat banyak manfaat daripada pelancongan, yang kini merupakan penyumbang pendapatan kedua tertinggi bagi negara, menjana anggaran AS$19.5 bilion tahun lepas.

“Pendapatan dijana daripada pelancongan telah menyumbang ke arah mempelbagaikan ekonomi Malaysia dan pada masa sama menyediakan pelbagai peluang ekonomi kepada rakyat,” katanya.

Ahmad Zahid berkata sebagai mengiktiraf potensi itu,  Malaysia akan menganjurkan Mesyuarat Menteri-Menteri Pelancongan D-8 ke-2 di Kuala Lumpur pada tahun depan dari 10 hingga 13 April.

“Kami berharap untuk menghimpunkan semua lapan Menteri Pelancongan D-8 untuk membincangkan secara komprehensif  strategi pelancongan dan rangka kerja untuk meningkatkan sektor penting ini,” katanya.

Ditubuhkan pada 15 Jun, 1997,  D-8 ialah sebuah organisasi untuk kerjasama dalam sektor ekonomi lapan negara membangun terdiri daripada Turki,  Bangladesh, Mesir, Indonesia, Iran, Nigeria, Pakistan dan Malaysia. – Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.