SHAH ALAM - Malaysia dan China akan bekerjasama daripada segi ketenteraan untuk mendepani ancaman keganasan khususnya gerakan militan Daesh antara kedua-dua negara.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, kedua-dua negara akan memantau rapat usaha terbaru kumpulan tersebut untuk bertapak sekali gus mengukuhkan pengaruh di Asia Tenggara, terutama selepas mereka menghadapi tentangan sengit di Syria dan Iraq.

"Insiden di Marawi, Selatan Filipina membuktikan Daesh sememangnya berhasrat mewujudkan wilayah pemerintahan di Asia Tenggara.

"Lebih membimbangkan apabila terdapat pengganas yang mempunyai kaitan rapat dengan Daesh dari beberapa negara turut berperang menentang tentera Filipina di Marawi," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau kini berada di Republik Rakyat China dalam rangka lawatan kerja perbincangan hubungan dua hala antara Malaysia dengan China khususnya dalam bidang ketenteraan dan pertahanan.

Hishammuddin berkata, sekiranya Daesh berjaya bertapak di rantau Asia Tenggara, ia akan mengancam keselamatan dan kestabilan bukan sahaja negara di rantau ini, malah akan merebak terutamanya ke negara berhampiran termasuk China.

Sementara itu dalam isu berasingan, Hishammuddin berkata, beliau berpuas hati dengan laporan perkembangan perolehan dua Littoral Mission Ship (LMS) yang sedang dibina oleh CSOC dan Boustead Naval Shipyard di China.

"Pembinaan dua LMS ini berada di landasan yang betul serta mengikut jadual yang ditetapkan. Insyaallah kita akan memperoleh LMS pertama dari dua LMS ini pada Oktober 2019.

"Manakala dua LMS lagi akan dibina di Malaysia selepas itu. Ini memperlihatkan kerjasama erat yang terjalin di antara dua negara yang akan terus diperkukuh meliputi pelbagai aspek kerjasama termasuk keselamatan, pelaburan, perdagangan, pendidikan dan pelancongan," katanya.

Beliau berkata, hubungan erat yang sedia terjalin antara Malaysia dan China sejak sekian lama akan terus diperkukuh dari semasa ke semasa.

"Tiada satu negara pun di dunia ini yang mampu bertindak bersendirian untuk berhadapan dengan ancaman keselamatan hari ini yang semakin kompleks," katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.