SHAH ALAM - Malaysia menjadi negara ke-26 terpantas di dunia dalam kadar kelajuan jalur lebar dengan purata kelajuan tetap 61.97 megabit sesaat (Mbps).

Ia sekali gus menjadikan kedudukan negara naik 10 anak tangga pada bulan lalu berdasarkan kaji selidik kadar kelajuan jalur lebar dijalankan The Speedtest Global Index (SGI).

Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM), Al-Ishsal Ishak berkata, ia menunjukkan kebanyakan rakyat Malaysia kini menikmati kadar kelajuan lebih signifikan hasil langkah-langkah tegas yang diambil kerajaan selama ini.

Malah, katanya, kerajaan juga sudah pun menunaikan janji untuk mengurangkan harga jalur lebar berkelajuan tinggi talian tetap sebanyak 25 peratus menjelang akhir 2018, menerusi harga pakej permulaan yang diturunkan lebih 30 peratus.

"Biarpun ini merupakan berita yang positif, namun ia hanyalah permulaan dan masih banyak lagi kerja perlu dilakukan.

"Ini hasil usaha Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo yang menjadikan isu ini sebagai keutamaan beliau," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Al-Ishsal berkata, SKMM akan terus membuat pemantauan tegas terhadap pakej-pakej ditawarkan syarikat-syarikat telco bagi memastikan pengguna menikmati kualiti perkhidmatan yang baik, berkelajuan tinggi dan harga berpatutan untuk jangka panjang.

[ARTIKEL BERKAITAN: KKMM mahu capaian Internet jadi hak asasi rakyat]

[ARTIKEL BERKAITAN: Tindakan tegas jika gagal turunkan harga jalur lebar]

Gobind sebelum ini pernah menyatakan hasrat beliau untuk melihat syarikat-syarikat telco tempatan meningkatkan kadar kelajuan jalur lebar dan pada masa sama turut mengurangkan harga.