PUTRAJAYA  – Malaysia akan bekerjasama rapat dengan negara jiran dan rakan perkongsian bagi menghapuskan pemerdagangan etnik Rohingya dari tempat asal, transit atau destinasi tertentu dan mengambil semua langkah bagi membasmi sindiket pemerdagangan manusia yang beroperasi di negara ini.

Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman berkata, Malaysia memuji usaha kerajaan Bangladesh menghulurkan bantuan dengan menyediakan tempat tinggal dan perlindungan kepada etnik Rohingya yang melarikan diri dari negara Myanmar.

“Dengan berbuat demikian, Bangladesh telah menyumbang secara signifikan kepada usaha global dalam menentang pemerdagangan  manusia. Usaha-usaha ini perlu mendapat sokongan berterusan daripada komuniti antarabangsa.

“Malaysia akan terus berbuat demikian dengan sebaik mungkin,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Anifah berkata, Malaysia secara tegas percaya pada akhirnya negara-negara sumber sepatutnya dipertanggungjawabkan.

“Negara-negara ini mesti diberikan tanggungjawab yang lebih besar untuk mencegah orang yang tidak bersalah menjadi mangsa pemerdagangan orang. Di samping itu, mereka perlu menghentikan sindiket pemerdagangan daripada mengeksploitasi kaum Rohingya yang tidak berdaya,” katanya.

Atas sebab ini, beliau berkata, Malaysia berharap kerajaan Myanmar akan melakukan usaha ikhlas untuk menyelesaikan punca krisis dan menggesa pelaksanaan penuh dan segera perjanjian penghantaran balik pelarian Rohingya ke wilayah Rakhine antara kerajaan Myanmar dan Bangladesh. - Bernama