PUTRAJAYA - Malaysia telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan empat negara lain bagi memperakukan iltizam bersama untuk mencari keadilan dan kebertanggungjawaban dengan memastikan pelaku dipertanggungjawabkan bagi penembakan pesawat Malaysia Airlines Penerbangan MH17 pada 14 Julai, 2014.

Selain Malaysia, Ukraine, Belgium, Australia dan Belanda juga memeterai MoU mengenai Sokongan Politik untuk Mendakwa Pelaku Penembakan MH17. MoU itu ditandatangani di Kediaman Rasmi Wakil Tetap Belanda ke Pertubuhan Bangsa Bersatu di New York.

Wisma Putra dalam satu kenyataan hari ini berkata MoU tersebut ditandatangani semalam di sela Perhimpunan Agung ke-72 Pertubuhan Bangsa Bersatu yang berlangsung sekarang.

Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman menandatangani MoU itu bagi pihak kerajaan Malaysia bersama rakan sejawatannya dari Australia, Belgium, Ukraine dan Belanda.

Kelima-lima negara itu telah menubuhkan Pasukan Siasatan Bersama (JIT) untuk menyelaraskan siasatan jenayah mengenai insiden penembakan pesawat MH17.

"(Negara-negara) memperakukan iltizam bersama untuk menegakkan keadilan dan kebertanggungjawaban dengan memastikan pelaku insiden adalah dipertanggungjawabkan seperti dituntut di bawah Resolusi 2166 Majlis Keselamatan PBB.

"Negara-negara JIT bersetuju untuk mendakwa pelaku penembakan penerbangan MH17 dan mengesahkan bahawa mereka akan membantu satu sama lain sekiranya mana-mana daripada mereka menghadapi sebarang tekanan luar untuk menjejaskan pendakwaan atau kerjasama di kalangan merea,” kata Wisma Putra.

Wisma Putra berkata Malaysia tidak berganjak dalam komitmennya untuk mendakwa pelaku penembakan MH17 dan mendapatkan keadilan bagi semua mangsa, ahli keluarga mereka dan orang tersayang.

"Malaysia berpuas hati dengan siasatan JIT dikegtuai Belanda setakat ini dan yakin bahawa pendakwaan negara di bawah  undang-undang Belanda adalah pilihan paling wajar untuk membawa pelaku insiden itu ke muka  pengadilan," kata kenyataan itu.

Wisma Putra berkata, Malaysia juga berharap langkah pertama ini ke arah mendakwa pelaku insiden akan  memberi sedikit kelegaan dan harapan kepada keluarga dan waris mangsa yang kehilangan orang tersayang dalam tragedi itu.

Pesawat Boeing B777, yang dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur, ditembak jatuh di ruang udara Donetsk di timur Ukraine, pada 14 Julai, 2014, mengorbankan kesemua 298 penumpang dan anak kapal yang berada dalam pesawat malang itu. –Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • SHAH ALAM - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengucapkan salam takziah dalam mengenang tiga tahun selepas tragedi MH17 yang ditembak jatuh di Timur Ukraine pada 17 Julai 2014.
  • PUTRAJAYA - Lukisan karya Allahyarham Muhammad Afif Tambi, seorang daripada mangsa tragedi penerbangan Malaysia Airlines MH17 yang ditembak jatuh di Ukraine pada 2014, diabadikan pada kemeja-T untuk mengumpul dana bagi pembinaan sebuah surau di Kuching, Sarawak.
  • PUTRAJAYA - Malaysia yakin bahawa pelaku yang bertanggungjawab menembak jatuh pesawat Malaysia Airlines penerbangan MH17 di Ukraine pada 2014 akan dibawa ke pengadilan hasil siasatan menyeluruh, kata Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai.
  • KUALA LUMPUR - Keputusan memilih negara Belanda sebagai lokasi perbicaraan mana-mana suspek yang ditahan berkaitan insiden pesawat MH17 yang ditembak jatuh tiga tahun lepas merupakan satu tindakan tepat, menurut pakar penerbangan tempatan.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.