APABILA bercerita pengalaman menuntut ilmu dahulu dan sekarang, jelas sekali ada perbezaannya sama ada dalam konteks cara mengajar dan juga cara belajar.

Kisah suka duka menuntut ilmu pada era 70-an dikongsi pelakon, pengarah filem , penerbit dan penulis skrip tersohor, Erma Fatima atau nama penuhnya Fatimah Rahmad.

Menurut Erma yang terkenal dengan gelaran Mok Cun  rotan yang dibekalkan ibunya membentuk beliau seperti yang dikenali peminat seni tanah air.

“Ketika berusia lima tahun, mak hantar saya mengaji di rumah ustazah. Hari pertama hantar mak sediakan rotan kepada ustazah supaya suruh rotan kalau saya benak. Ustazah memang garang, asyik rotan belakang saya dan kata kau ni benak,” kongsinya di laman Instagramnya.

Anak kelahiran Kuala Lumpur itu bercerita, geram terhadap ustazah berkenaan, Erma bertindak protes dengan membuang air besar di bilik air dan menutupnya dengan baldi.

“Ustazah dapat tahu, dia report kat mak saya, balik rumah kena belasah. Di sekolah pun sama, setiap kali buat salah cikgu rotan tapak tangan, rotan bontot, berdiri atas kerusi, berdiri tengah panas dan denda cuci tandas,” katanya lagi mengimbau zaman persekolahannya.

Pengarah filem Perempuan Melayu Terakhir ini berkata, sehingga menginjak dewasa ibu dan ayahnya masih menjadikan rotan sebagai medium mendidik.

“Masa pertama kali berlakon dalam filem Rozana Cinta ‘87, mak ayah saya pesan kepada Pengarah, Nasir Jani kalau saya jahat, dia boleh pukul saya,”ujarnya.

Primadona itu turut membidas masyarakat yang terpengaruh dengan sistem pendidikan barat menjadikan anak mereka bersikap seperti yang berlaku hari ini.

“Kalau cikgu itu melampau sampai cedera parah hukum anak kita, wajarlah kita ambil tindakan. Tapi kalau anak kita dah macam ‘syaitan’, dah tegur, dah marah tapi masih tak jalan, siapa lagi nak hukum dia? Anak kita di sekolah, gurulah yang jadi mak dan ayah.

“Kalau guru pun buat tak endah, nak didik macam mana? Orang kata, nak tengok apa jadi kepada negara kita kelak,  Tengok anak-anak kita sekarang,” tegurnya.

 

[ARTIKEL BERKAITAN : Jika ada masalah datang sekolah jumpa PIBG]

[ARTIKEL BERKAITAN : Orang lama tidak kisah anak dihukum di sekolah]