LANGKAWI - Majlis perjumpaan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bersama persatuan pemandu teksi di Langkawi hari ini kecoh seketika apabila beberapa orang ahli persatuan bertindak biadab keluar majlis dan berteriak kerana tidak setuju dengan pandangan beliau berhubung perkhidmatan e-panggilan, Grab.

Kira-kira 10 orang pemandu teksi itu berteriak dan mengeluarkan kata-kata kesat sambil berjalan keluar selepas perdana menteri berkata beliau akan terus mencari jalan terbaik untuk menyelesaikan isu berkenaan demi manfaat semua pihak.

Kekecohan itu hanya berlaku kira-kira dua minit dan selepas keadaan reda, Dr Mahathir berkata beliau sebagai perdana menteri hanya cuba untuk membantu golongan pemandu teksi untuk memulihkan kembali pendapatan mereka.

“Kalau tak percaya saya boleh buat, buat sendirilah. Tengok apa jadi. Saya nak tolong. Tapi kalau tak ada bantuan kepada saya, saya tak boleh tolonglah.

“Saya bukan nak jadi perdana menteri. Saya bersara dah tapi orang panggil balik. Sebab itu saya datang. Kalau tak nak saya jadi perdana menteri hari ini pun saya letak jawatan. Tak ada masalah bagi saya,” katanya. - Bernama