KUALA LUMPUR - Majlis Raja-raja menzahirkan penghargaan kepada pelbagai pihak yang membantu bagi membolehkan PRU14 berlangsung dalam keadaan aman dan tenteram.

Sultan Perak Sultan Nazrin Shah yang mempengerusikan hari pertama Mesyuarat Majlis Raja-raja ke-249 hari ini bertitah, pemilihan pengundi telah menghasilkan satu keputusan pilihan raya yang telah mengubah landskap politik dan meninta satu sejarah baharu di dalam negara.

“Alhamdulillah, proses peralihan kuasa berlangsung secara teratur, tenteram dan aman membuktikan  rakyat Malaysia telah mempamerkan sifat kematangan berpolitik. Warga Malaysia telah membuktikan kepada dunia bahawa amalan demokrasi di negara ini bukan sahaja berakar subur malah telah mencapai tahap kedewasaan,” titah baginda.

Tidak boleh dinafikan bahawa intensiti ketika berkempen menyebabkan rakyat terbahagi kepada dua pihak bertentangan, namun baginda yang juga Timbalan Yang di-Pertuan Agong percaya usaha mengembalikan perpaduan rakyat dapat dilakukan.

“Demi masa depan negara, usaha ke arah mengembalikan perpaduan rakyat wajib dirintis dengan mengamalkan budaya demokrasi yang tinggi, menjunjung semangat inklusif bahawa yang menang tidak menang semua manakala yang tewas – tidak pula tewas semua,” titah baginda.

Baginda bertitah mesyuarat kali ini turut mengucapkan selamat datang kepada ramai wajah baharu yang berperanan sebagai penasihat rasmi kepada Raja-raja dan Yang di-Pertua Negeri.

“Beta mengalu-alukan kehadiran Yang Amat Berhormat ke Mesyuarat Majlis Raja-raja dan tahniah kerana diberi kepercayaan mengetuai kerajaan negeri masing-masing.

“Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Raja Pemerintah Negeri dan Yang di-Pertua Negeri setelah meneliti dan berpuas hati dengan pilihan majoriti pengundi telah menyempurnakan tanggungjawab masing-masing memberikan perkenan lantikan ketua kerajaan dan anggota kerajaan baik di peringkat persekutuan mahupun negeri,” titah baginda.

Baginda bertitah Majlis Raja-raja adalah forum unik  lagi istimewa yang mempertemukan institusi raja berperlembagaan dengan institusi rakyat dan urusannya dilakukan secara musyawarah dan perbincangannya tidak semua dihebah.

“Namun rakyat perlu meyakini bahawa keadaan sedemikian ialah sebaik-baiknya, seperti mana diibaratkan peribahasa orang tua-tua yang kaya falsafah: Muafakat berjalan di dalam gelap, manakala adat dan adab berlaku di dalam terang” titah baginda. - Bernama