KUALA LUMPUR - Majikan disaran menggajikan lebih ramai pekerja orang kurang upaya (OKU) berikutan sektor awam dan swasta di negara ini masih belum mencapai sasaran Dasar Satu Peratus penglibatan golongan itu dalam sektor pekerjaan.

Pengurus Cawangan 'Return to Work' (RTW) Bahagian Operasi Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Roshaimi Mat Rosely berkata kebanyakan majikan di negara ini tidak menyedari manfaat yang bakal diperoleh sekiranya mereka mengambil lebih ramai pekerja OKU.

"Sesetengah majikan di Malaysia tidak tahu Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) menawarkan pelepasan cukai berganda kepada majikan yang melatih dan mengambil pekerja OKU yang mempunyai kad OKU," katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Pada 10 Oktober lepas, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Azizah Mohd Dun dilaporkan berkata pada dasarnya jumlah tenaga kerja golongan OKU dalam sektor awam di seluruh negara masih kecil iaitu hanya kira-kira 0.23 peratus.

Sehubungan itu, Azizah menyeru semua pihak termasuk pihak berkuasa tempatan di setiap negeri memberi kerjasama bagi mencapai dasar berkenaan menjelang tahun 2020.

Dalam pada itu, Pengarah Eksekutif Pusat Rehabilitasi Perkeso (PRP) Dr Hafez Hussain berkata setakat 30 September tahun ini, seramai 7,616 Orang Berinsurans Perkeso (OBP) yang mengalami hilang upaya akibat kecederaan atau penyakit, telah berjaya kembali bekerja dengan majikan sama.

Katanya melalui program RTW Perkeso, OBP berkenaan telah dimasukkan ke PRP yang terletak di Bandar Hijau, Melaka.

"Pusat rehabilitasi ini adalah yang terbesar di Malaysia, yang mana doktor akan merawat dan menjalankan pelbagai terapi seperti fisioterapi dan hidroterapi bagi memastikan setiap kekangan OBP dapat diselesaikan secepat mungkin melalui pendekatan yang terbaik," katanya.

Walau bagaimanapun, beliau berkata jika majikan yang sama tidak mahu menerima OBP itu atas sebab-sebab tertentu, program RTW akan membantu memadankan OBP dengan majikan yang bersesuaian.

"Kita ada tujuh hierarki bagi program RTW ini dan hierarki akhir sekali adalah bekerja sendiri (vokasional). RTW akan salurkan kes berkaitan kepada 10 pegawai penempatan pekerjaan (PPP) dan 41 pengurus kes kami di seluruh Malaysia.

"PPP akan bantu OBP berkenaan mencari kerja bersesuaian dengan keadaan, keupayaan fizikal dan kesihatan OBP kepada majikan yang sesuai," katanya. - Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • PUTRAJAYA - Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) menerima 33 permohonan bantuan interim Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) daripada individu yang hilang pekerjaan pada tahun ini sejak pelaksanaan SIP berkuat kuasa 1 Januari lepas, kata Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Richard Riot.
  • KUALA LUMPUR - Kafe Inspired Kitchen, yang dikendalikan pelajar orang kurang upaya (OKU) Kolej Komuniti Selayang, akan diperluaskan secara berperingkat pada masa akan datang.
  • KUALA LUMPUR - Mulai 2018, pekerja yang kehilangan pekerjaan layak menerima faedah interim berbentuk elaun tunai berjumlah RM600 sebulan bagi tempoh maksimum tiga bulan di bawah Sistem Insuran Pekerjaan (SIP).
  • KUALA LUMPUR - Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) mengumumkan kenaikan kadar pencen di bawah Skim Insurans Bencana Pekerjaan dan Skim Keilatan mulai 1 September tahun ini.
  • KUALA LUMPUR - Pemandu teksi konvensional dan penyedia perkhidmatan pengangkutan dalam talian seperti Uber dan GrabCar disaran mencarum dalam Skim Perlindungan Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) bagi membolehkan mereka menikmati faedahnya.