KUALA KANGSAR - Mahkamah Syariah Kuala Kangsar menjadi mahkamah syariah pertama di negara ini yang menanam pokok kurma sebagai hiasan landskap bertujuan memperingati sunnah Rasulullah SAW.

Hakim Mahkamah Syariah Kuala Kangsar, Ahmad Jazman Ulul Azmin berkata, penanaman dua anak pokok kurma di perkarangan mahkamah itu dilakukan sempena sambutan Mulidur Rasul.

“Saya ingin berterima kasih kepada pihak pengurusan Jorizma Enterprise kerana sudi memilih Mahkamah Syariah Kuala Kangsar sebagai lokasi penanaman kurma dan saya difahamkan ia pertama kali dilaksanakan di mahkamah syariah.

“Alhamdulillah bukan sahaja sejarah tercipta apabila Mahkamah Syariah Kuala Kangsar menjadi mahkamah syariah pertama mempunyai pokok kurma di negara ini tetapi juga sebagai mengingati makanan sunnah Rasulullah SAW,” katanya selepas simbolik penanaman anak pokok kurma di sini, hari ini.

Menurutnya, anak pokok kurma yang ditanam bersebelahan perkarangan mahkamah itu diharap membesar dengan baik serta mengeluarkan hasilnya kepada warga mahkamah dan orang ramai.

“Insya-ALLAH kalau buah pertama menjadi dan banyak selepas diagihkan kepada kakitangan mahkamah kita akan berikan kepada orang ramai untuk merasai hasilnya,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Jorizma Enterprise, Johari Mohamad berkata, dua anak pokok kurma berkenaan adalah sumbangan syarikatnya yang juga bertanggungjawab menguruskan kontrak pembersihan di mahkamah syariah tersebut.

“Kebiasaannya pokok kurma akan mengambil masa lima hingga tujuh tahun untuk mengeluarkan hasil, tetapi kurma jenis hibrid ini sekiranya dijaga dengan rapi dan baik dari segi baja dan tanah ia boleh mengeluarkan hasil selepas dua tahun.

“Saya berharap apabila ia berbuah nanti, pokok ini akan memberikan manfaat kepada semua pihak,” katanya.