PORT DICKSON - Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid menyarankan agar subjek pendidikan agama Islam di sekolah ditingkatkan bagi memastikan pelajar Islam menerima didikan asas agama yang cukup.

Katanya ini dilihat perlu khususnya dalam membendung perlakuan-perlakuan yang tidak sepatutnya dan bertentangan dengan ajaran agama termasuk perbuatan seksual yang dilakukan anggota keluarga sendiri terhadap pelajar.

Perkara ini tidak akan berlaku sekiranya individu tersebut mempunyai asas agama yang cukup, katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Umno Bahagian Telok Kemang, di sini hari ini.

Pada masa sama, Mahdzir memuji penubuhan Mahkamah Jenayah Seksual Terhadap Kanak-Kanak oleh kerajaan di bawah pimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak yang disifatkan beliau sebagai tepat pada masa.

Ini satu lagi usaha kerajaan dalam membela kanak-kanak yang menjadi mangsa serangan jenayah seksual, katanya.

Pada Rabu dan Khamis, negara dikejutkan dengan laporan seorang bapa dihadapkan ke mahkamah itu atas lebih 600 pertuduhan meliwat, merogol dan melakukan seksual fizikal terhadap anak perempuan kandungnya yang berusia 15 tahun sejak awal tahun ini sehingga Julai lalu.

Lelaki itu disahkan oleh Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali sebagai tertuduh pertama di negara ini yang berdepan dengan beratus-ratus tuduhan serangan seksual. –Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • NILAI - Kementerian Pendidikan mahu guru-guru Bahasa Inggeris di seluruh negara mempunyai penguasaan bahasa itu sehingga mencapai tahap C2 (paling cemerlang) berdasarkan Common European Framework of Reference (CEFR).
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.