SHAH ALAM - Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bersetuju membentuk Pasukan Khas Siasatan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan berkata, ia bagi menjalankan siasatan terperinci, pengesanan dan rampasan aset serta pendakwaan terhadap individu yang melakukan apa-apa kesalahan jenayah dalam pengurusan 1MDB.

"Pasukan Khas ini akan diketuai bersama Tan Sri Gani Patail (bekas Peguam Negara),  Tan Sri Abu Kassim Mohamed (bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM), Datuk Seri Mohd Shukri Abdull (Ketua Pesuruhjaya SPRM) dan Datuk Abdul Hamid Bador.

"Keanggotaan Pasukan ini akan terdiri daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Jabatan Peguam Negara, Polis Di Raja Malaysia, Bank Negara Malaysia dan beberapa orang peguam yang mempunyai kepakaran dalam perkara berkaitan," katanya, hari ini.

Kenyataan tersebut turut menyebut, pasukan khas tersebut akan bertanggungjawab dalam keseluruhan aspek penyelarasan siasatan, pengesanan kewangan dan perolehan aset yang berpunca dari salah laku dan penyelewengan dana 1MDB yang tersimpan atau dilaburkan di dalam dan luar negara.

"Pasukan khas ini juga bertanggungjawab untuk mendapatkan kerjasama dengan pelbagai pihak agensi penguatkuasaan Amerika Syarikat, Switzerland, Singapura, Kanada dan lain-lain negara yang berkaitan.

"Kerajaan berharap penubuhan pasukan khas ini dengan penglibatan pelbagai agensi penguatkuasaan yang terlibat akan berupaya mengembalikan maruah negara yang telah tercemar selama ini di samping mengembalikan wang dan aset rakyat Malaysia berikutan skandal kleptokrasi hasil salah laku dan penyelewengan dana 1MDB," katanya.